Khamis, 5 Mei 2022 | 8:43pm
Pelabur memerhatikan pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur memerhatikan pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia jatuh 17.45 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini sejajar dengan prestasi di pasaran serantau dengan jualan terutama dalam saham utiliti dan teknologi, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 17.45 mata atau 1.09 peratus untuk ditutup kepada 1,582.98 daripada paras penutup 1,600.43 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 13.91 mata kepada 1,614.34 dan bergerak antara paras 1,576.84 dan 1,615.17 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 628 berbanding 380 dengan 421 kaunter tidak berubah, 809 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.68 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM2.07 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama diniagakan rendah meskipun petunjuk positif di Wall Street semalaman apabila pelabur mengambil keuntungan.

"Sementara itu, ekuiti China mencatatkan prestasi positif apabila ia kembali didagangkan selepas cuti," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura jatuh 0.16 peratus kepada 3,344.04, Kospi Korea Selatan susut 0.11 peratus kepada 2,677.57, Nikkei Jepun berkurangan 0.11 peratus kepada 26,818.53 dan Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.36 peratus kepada 20,793.40.

Pak Leng berkata, FBM KLCI dibuka tinggi dengan belian kebanyakannya dalam saham perladangan dan perjudian.

Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung muncul apabila indeks petunjuk pasaran mencecah paras tertinggi intra hari pada 1,615.17 dan meneruskan aliran menurunnya sehingga pasaran ditutup.

"Dengan paras ketahanan pada 1,600, kami menjangkakan FBM KLCI kekal stabil buat masa ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks diniagakan dalam jajaran ketat antara 1,580 dan 1,590 menuju ke hujung minggu," katanya.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut lapan sen kepada RM8.99, Public Bank turun enam sen kepada RM4.63, IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM6.60, CIMB jatuh sembilan sen kepada RM5.11 manakala Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM10.30.

Dalam kalangan kaunter cergas, kedua-dua PUC Bhd dan Ta Win Holdings susut 1.5 sen masing-masing kepada enam sen dan 13.5 sen, MN Holdings turun 2.5 sen kepada 22 sen, manakala Permaju Industries berada pada 9.5 sen dan Sedania Innovator naik 11 sen kepada 47 sen.

Di papan indeks, FBM 70 turun 148.62 mata kepada 13,623.56, Indeks FBM Emas jatuh 116.31 mata kepada 11,349.77, Indeks FBMT 100 berkurangan 120.99 mata kepada 10,999.51, Indeks FBM Emas Shariah susut 122.28 mata kepada 11,900 dan FBM ACE turun 4.11 mata kepada 5,574.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 215.48 mata kepada 16,711.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.24 mata kepada 208.79 dan Indeks Perladangan susut 57.07 mata kepada 8,763.94.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion saham bernilai RM2.16 bilion berbanding 1.66 bilion saham bernilai RM1.83 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 378.02 juta unit bernilai RM69.69 juta berbanding 473.01 juta unit bernilai RM95.58 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 595.41 juta saham bernilai RM142.07 juta berbanding 674.39 juta saham bernilai RM135.61 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 322.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (493.41 juta), pembinaan (84.06 juta), teknologi (148.32 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (95.46 juta), hartanah (94.54 juta), perladangan (84.76 juta), REITs (19.11 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (206.81 juta), penjagaan kesihatan (55.55 juta), telekomunikasi dan media (33.90 juta), pengangkutan dan logistik (23.98 juta) dan utiliti (44.98 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada 2-4 Mei sempena cuti ganti Hari Pekerja dan cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

-BERNAMA

Berita Harian X