Khamis, 28 April 2022 | 7:09pm
Pelabur memerhatikan pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur memerhatikan pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia naik 11.33 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi secara keseluruhannya pada Khamis, didorong sentimen pasaran yang bertambah baik di seluruh rantau, kata penganalisis.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 11.33 mata atau 0.71 peratus kepada 1,597.31 daripada 1,585.98 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 7.64 mata lebih tinggi kepada 1,593.62 sebelum bergerak di antara 1,590.17 dengan 1,600.60 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 584 berbanding 354, manakala 436 kaunter tidak berubah, 916 kaunter tidak diniagakan dan 82 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.48 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 2.21 bilion unit bernilai RM1.89 bilion yang direkodkan pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata di peringkat serantau, indeks-indeks utama berada dalam aliran lebih tinggi memandangkan pelabur mengambil peluang membeli saham pada harga murah selepas penjualan baru-baru ini.

Beliau berkata, selain itu, Majlis Negara China semasa mesyuarat terbarunya turut berjanji untuk menstabilkan pekerjaan sekali gus memberi sedikit rangsangan kepada sentimen pelabur.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI berada dalam aliran tinggi didorong pembelian oleh pelabur asing yang berterusan terutama dalam sektor perladangan, perjudian dan perbankan.

"Kami mendapati indeks penanda aras kekal pada aliran mendatar meskipun berlaku pembelian semasa harga rendah hari ini. Ini kerana rintangan kukuh pada 1,600," katanya kepada Bernama.

Pak Leng juga berkata, pelabur kekal berhati-hati memandangkan naik turun pasaran yang semakin ketara.

"Oleh itu, kami percaya beberapa pengambilan untung akan berlaku dan menjangkakan FBM KLCI berada pada aliran dalam julat kecil 1,590 hingga 1,600 menjelang hujung minggu ini," katanya.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menambah enam sen kepada RM9.04, Public Bank tidak berubah pada RM4.17, Petronas Chemicals melonjak 18 sen kepada RM10.10, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM6.65 dan CIMB naik empat sen kepada RM5.19.

Antara saham aktif, MN Holdings menambah 2.5 sen kepada 23.5 sen, Techna-X naik satu sen kepada 12 sen, Tanco menokok 3.5 sen kepada 34 sen, Anzo susut dua sen kepada 1.5 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, FBM 70 melonjak 182.47 mata kepada 13,711.27; Indeks FBM Emas menambah 97.68 mata kepada 11,435.48; Indeks FBMT 100 menokok 94.69 mata kepada 11,092.37; Indeks FBM Emas Syariah meningkat 108.58 mata kepada 11,990.53 dan FBM ACE menambah 15.0 mata kepada 5,585.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 111.44 mata kepada 16,911.46, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.25 mata kepada 209.42 dan Indeks Perladangan meningkat 66.72 mata kepada 8,784.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.67 bilion saham bernilai RM1.98 bilion daripada 1.63 bilion saham bernilai RM1.73 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 268.65 juta unit bernilai RM46.96 juta daripada 229.22 juta unit bernilai RM43.50 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 544.68 juta saham bernilai RM160.10 juta daripada 351.21 juta saham bernilai RM120.22 juta pada Rabu.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 256.63 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (423.55 juta), pembinaan (72.03 juta), teknologi (147.07 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (83.51 juta), hartanah (150.36 juta), perladangan (119.35 juta), REIT (14.40 juta), dana tertutup (66,000), tenaga (300.89 juta), penjagaan kesihatan (37.15 juta), telekomunikasi dan media (22.66 juta), pengangkutan dan logistik (21.12 juta) serta utiliti (25.18 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X