Khamis, 21 April 2022 | 7:04pm
Pelabur melihat pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur melihat pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia hampiri 1,600 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan trajektori meningkat untuk mengakhiri dagangan pada Khamis dengan prestasi tinggi, dipacu oleh sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih didahului kaunter perbankan, perladangan serta minyak dan gas.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 4.57 mata atau 0.28 peratus kepada 1,598.32 daripada 1,593.75 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 4.64 mata lebih kukuh kepada 1,598.39 sebelum bergerak di antara 1,594.13 dengan 1,599.91 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 518 berbanding 445, manakala 416 kaunter tidak berubah, 894 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.84 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 3.11 bilion unit bernilai RM2.60 bilion yang direkodkan pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau utama mencatatkan prestasi bercampur-campur dalam dagangan yang tidak menentu.

Beliau berkata, ini kerana pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menyaksikan sama ada penurunan dialami indeks Nasdaq Composite dan S&P 500 Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh semalaman itu hanya bersifat sehari atau akan berlarutan beberapa hari.

"Di peringkat domestik, kami percaya prestasi bursa tempatan akan kekal stabil memandangkan dana asing terus mengumpul ekuiti tempatan, walaupun tidak menolak kemungkinan berlakunya pembetulan sekejap-sekejap," katanya kepada Bernama.

FBM KLCI juga dijangka bergerak dalam julat 1,595 hingga 1,610 menjelang hujung minggu ini, katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.39 peratus kepada 3,348.46; Nikkei 225 Jepun meningkat 1.23 peratus kepada 27,553.06; Kospi Korea Selatan menambah 0.35 peratus kepada 2,728.21 manakala SSE Komposit Shanghai turun 2.26 peratus kepada 3,079.81 dan Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.25 peratus kepada 20,682.22.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menokok lapan sen kepada RM8.88 dan RM10.38 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.67, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM6.54 dan Press Metal meningkat empat sen kepada RM6.59.

Antara salam aktif, MNC Wireless, VIzione, Sapura Energy dan Ta Win nmasing-masing naik setengah sen kepada tiga sen, 10.5 sen, 4.5 sen dan 16 sen, manakala Tanco menambah 3.5 sen kepada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 29.35 mata kepada 11,123.64; Indeks FBM Emas menokok 34.31 mata kepada 11,484.30; Indeks FBM Emas Syariah naik 2.91 mata kepada 12,134.48; FBM 70 menambah 26.53 mata kepada 13,848.65 manakala FBM ACE turun 6.40 mata kepada 5,803.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 133.46 mata kepada 16,711.87; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.37 mata kepada 216.55, manakala Indeks Perladangan kurang 2.28 mata kepada 8,605.10.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.93 bilion saham bernilai RM1.85 bilion daripada 1.86 bilion saham bernilai RM2.34 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 323.97 juta unit bernilai RM43.56 juta daripada 354.06 juta unit bernilai RM59.61 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula merosot kepada 582.92 juta saham bernilai RM142.39 juta daripada 892.13 juta saham bernilai RM206.19 juta.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 229.49 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (575.61 juta), pembinaan (261.12 juta), teknologi (217.38 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.42 juta), hartanah (181.46 juta), perladangan (66.19 juta), REIT (13.86 juta), dana tertutup (9,000), tenaga (211.74 juta), penjagaan kesihatan (39.88 juta), telekomunikasi dan media (25.37 juta), pengangkutan dan logistik (25.40 juta), serta utiliti (25.36 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X