Rabu, 20 April 2022 | 7:59pm
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama - Foto hiasan
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama - Foto hiasan

Nilai ringgit terus susut

KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk sesi keempat berturut-turut, yang tidak disebabkan oleh faktor makro luaran, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu terus susut kepada 4.2800/2830 berbanding dolar AS 4.2505/2515 ketika ditutup pada Isnin.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti Nuzul Al-Quran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan globalnya kepada 3.6 peratus bagi 2022 daripada unjuran 4.4 peratus pada Januari, memetik perang di Ukraine dan kesan limpahannya sebagai faktor utama.

"Oleh itu, pengelakan risiko telah beralih ke dalam Indeks Dolar AS yang terus kekal di atas paras 100 mata," katanya kepada Bernama.

Katanya sekatan pergerakan terbaharu di China telah melemahkan lagi sentimen ekonomi global.

"Kami turut melihat bahawa mata wang serantau, termasuk baht Thai dan yuan China, telah menurun," tambahnya.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang yang lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1371/1398 daripada 3.1228/1240 pada Isnin namun lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3432/3458 daripada 3.3569/3579 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding pound Britain kepada 5.5781/5820 daripada 5.5303/5316 pada Isnin dan menurun berbanding euro kepada 4.6468/6501 daripada 4.5867/5878.

-BERNAMA

Berita Harian X