Ahad, 17 April 2022 | 11:11am

Pemilik emas raih pulangan berganda

KUALA LUMPUR: Persekitaran harga emas yang kekal tinggi ketika ini adalah peluang terbaik kepada pemilik barang kemas untuk meraih pulangan berganda, lebih-lebih lagi selepas aset selamat itu dibeli ketika harga emas rendah.

Peniaga emas dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid, berkata harga emas dijangka terus meningkat dan keperluan untuk menjual atau terus memegang logam berharga itu bergantung kepada individu.

"Bagi siapa yang telah membeli dengan harga yang lebih rendah pada tahun sebelum ini boleh menjual untuk meraih pulangan. Harga emas dijangka akan terus meningkat, jadi bagi individu yang ingin melabur untuk jangka panjang, emas masih antara pilihan yang baik," katanya ketika dihubungi BH.

Nik Mohd Haniff berkata, permintaan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri agak perlahan tahun ini berbanding pada 2021.

"Jika sebelum ini ada bantuan fiskal dari kerajaan melonjak jualan emas. Saya percaya apabila pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dikreditkan mulai 20 April ini, jualan emas akan meningkat semula," katanya.

Sementara itu, pemilik Kedai Emas Jesselton berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, Faizul Mohtar berkata, ketika ini adalah masa yang subjektif untuk beli simpan atau menjual pegangan emas untuk meraih pulangan kerana ia bergantung kepada sosio ekonomi individu ketika tempoh yang masih mencabar ini.

"Pada pendapat saya pula, ini masa yang sesuai untuk membeli emas ketika ada yang memiliki wang lebihan yang tidak digunakan memandangkan emas adalah logam berharga pelindung nilai kepada inflasi.

"Pada musim perayaan ini, permintaan masih kekal positif di Sabah walaupun harga emas berada di paras tertinggi. Ia sudah pasti didorong oleh inisiatif pengeluaran RM10,000 KWSP yang mampu meletakkan permintaan tinggi kepada emas," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kim Trading Venture Sdn Bhd, Liew Kim Fung pula berpandangan, harga emas yang tinggi ketika ini dapat membantu masalah kewangan kepada individu dan perniagaan.

"Pada pendapat saya, keadaan sedemikian boleh dibahagikan kepada dua situasi. Pertama, walaupun harga di atas paras yang tinggi, dengan situasi peperangan Russia dengan Ukraine dan inflasi tinggi, harga emas akan meningkat lagi dalam masa yang singkat. Oleh itu, pegangan emas lebih selamat daripada wang kertas yang semakin merosot.

"Situasi yang kedua iaitu sesiapa yang memerlukan kewangan dapat pajak dengan harga yang lebih tinggi untuk memerlukan modal perniagaan. Ini boleh membantu masalah kewangan untuk modal pusingan.

"Untuk tempoh jangka panjang, lebih bagus pelabur terus memegang emas pada waktu ini susulan ketidakstabilan keadaan ekonomi yang masih kita hadapi," katanya.

Kim Fung berkata, sebagaimana lazimnya, musim perayaan akan menyaksikan permintaan kekal tinggi sehingga dua minggu selepas Aidilfitri.

"Selepas hari raya, jualan akan merosot sehingga Oktober. Namun permintaan barang kemas sebenarnya mengikut trend. Justeru, inovasi dari kilang menghasilkan barang kemas adalah penting bagi mengekalkan permintaan," katanya.

Berita Harian X