X
Khamis, 14 April 2022 | 6:57pm
Pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pergerakan harga-harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Belian saat akhir heret turun Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan belian saat-saat akhir dalam saham wajaran tinggi.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam segmen positif awal hari ini tetapi aktiviti pengambilan untung dalam kaunter berkaitan indeks pada 10 minit terakhir dagangan menyebabkan indeks utama itu ditutup di paras terendah intra harinya.

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 1.48 mata untuk ditutup kepada 1,595.70 berbanding paras penutup 1,597.18 pada Rabu.

Indeks petunjuk utama bergerak antara paras 1,595.70 dan 1,602.38 sepanjang hari dagangan selepas dibuka tinggi naik 3.92 mata kepada 1,601.10.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 465 berbanding 445 dengan 440 kaunter tidak berubah, 903 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.0 bilion daripada 3.54 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama ditutup tidak berubah selepas sesi dagangan yang tidak menentu.

"Indeks petunjuk utama itu susut selepas mencecah paras tertinggi intra harinya pada 1,602.38 apabila pelabur mula mengambil keuntungan," katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, China memberi bayangan bahawa ia akan melonggarkan lagi dasar monetarinya dan mengurangkan pasaran bon berikutan kenaikan kadar faedah agresif daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan Indeks Komposit SSE Shanghai melonjak 1.22 peratus.

Di pasaran tempatan, FBM KLCI diniagakan dalam jajaran terhad hari ini berikutan kekurangan sokongan belian.

"Sentimen pasaran masih berhati-hati meskipun aliran masuk berterusan daripada dana asing yang berjumlah RM6.9 bilion setakat ini bagi tahun ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI kekal stabil dan berlegar dalam jajaran 1,585-1,600 menuju ke hujung minggu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.83, CIMB turun 14 sen kepada RM5.14, kedua-dua Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing kepada RM4.67 dan RM10.26, tetapi IHH Healthcare meningkat lapan sen kepada RM6.52.

Dalam kalangan kaunter cergas, Pappajack meningkat empat sen kepada 52.5 sen, Sapura Energy naik setengah sen kepada empat sen, MNC Wireless susut setengah sen kepada 3.5 sen, manakala Key Alliance dan Permaju tidak berubah masing-masing pada satu sen dan 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 berkurangan 8.83 mata kepada 11,101.57, Indeks FBM Emas turun 8.64 mata kepada 11,454.69, FBM 70 susut 4.97 mata kepada 13,805.68, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 9.56 mata kepada 12,095.39 dan FBM ACE menambah 22.67 mata kepada 5,846.32.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.82 mata kepada 214.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 53.42 mata kepada 16,679.58 dan Indeks Perladangan turun 40.67 mata kepada 8,464.91.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.06 bilion saham bernilai RM1.78 bilion berbanding 2.48 bilion saham bernilai RM2.0 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 256.90 juta unit bernilai RM42.18 juta berbanding 239.55 juta unit bernilai RM41.68 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 996.20 juta saham bernilai RM175.69 juta berbanding 825.48 juta saham bernilai RM195.86 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 677.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (450.37 juta), pembinaan (199.34 juta), teknologi (138.19 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (58.34 juta), hartanah (226.0 juta), perladangan (46.74 juta), REITs (7.55 juta), dana tertutup (13,500), tenaga (148.82 juta), penjagaan kesihatan (38.88 juta), telekomunikasi dan media (28.49 juta), pengangkutan dan logistik (31.25 juta) dan utiliti (16.81 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X