Khamis, 17 March 2022 | 6:45pm
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - Foto fail NSTP
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - Foto fail NSTP

Bursa Malaysia melonjak 19.56 mata

KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti tempatan meneruskan trajektori meningkatnya dengan Bursa Malaysia ditutup 1.24 peratus lebih tinggi hari ini susulan sokongan belian di seluruh papan kecuali kaunter perladangan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 19.56 mata kepada 1,590.88 daripada paras penutup 1,571.32 pada Rabu.

Petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 6.24 mata kepada 1,577.56 dan turun naik antara paras 1,577.56 dan 1,592.90 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 756 berbanding 296, manakala 402 kaunter tidak berubah, 856 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.34 bilion unit bernilai RM3.71 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.71 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran utama serantau juga mencatatkan prestasi positif kecuali Indonesia, susulan kenaikan semalaman di Wall Street.

Beliau berkata, saham teknologi di China dan Hong Kong melonjak tinggi ketika pelabur menilai pandangan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa ekonomi terbesar dunia itu cukup kuat untuk mendepani inflasi tinggi yang bakal berlaku.

"Di dalam negara, kami optimis dalam berhati-hati memandangkan peningkatan sentimen pasaran tempatan dan juga serantau beserta sokongan daripada dana asing.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI melepasi paras psikologi 1,600 menghala ke hujung minggu," kata Pak Leng kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter untung, Nestle meningkat 80 sen kepada RM135.80, Hong Leong Bank naik 44 sen kepada RM20.64 dan Petronas Dagangan menokok 40 sen kepada RM20.40.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank meningkat lapan sen kepada RM8.98, Public Bank naik 11 sen kepada RM4.63, Petronas Chemicals menambah 11 sen kepada RM9.42, CIMB menokok 18 sen kepada RM5.48 dan IHH Healthcare naik dua sen kepada RM6.39.

Tenaga susut dua sen kepada RM9.08 dan Press Metal turun satu sen kepada RM6.35.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang NeXchange turun satu sen kepada 99 sen, AT Systematization dan XOX kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada dua sen dan Hibiscus tidak berubah pada RM1.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 151.88 mata kepada 11,274.68, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 110.21 mata kepada 11,818.37, FBM 70 menokok 267.87 mata kepada 13,358.09, Indeks FBMT 100 menambah 153.51 mata kepada 10,990.63 dan FBM ACE melonjak 94.61 mata kepada 5,363.82.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.82 mata kepada 202.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 327.15 mata kepada 16,795.58 manakala Indeks Perladangan turun 113.78 mata kepada 7,827.42.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.00 bilion saham bernilai RM3.40 bilion berbanding 1.58 bilion saham bernilai RM2.45 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 748.13 juta unit bernilai RM130.23 juta berbanding 561.52 juta unit bernilai RM110.67 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 596.16 juta saham bernilai RM173.65 juta daripada 443.32 juta saham bernilai RM141.79 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 227.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (518.87 juta), pembinaan (77.07 juta), teknologi (442.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (157.25 juta), hartanah (105.48 juta), perladangan (81.82 juta), REIT (12.45 juta), dana tertutup (32,000), tenaga (170.37 juta), penjagaan kesihatan (129.87 juta), telekomunikasi dan media (38.66 juta), pengangkutan dan logistik (17.00 juta) dan utiliti (25.00 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X