Isnin, 21 Februari 2022 | 10:22am
Gambar arkib. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Gambar arkib. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Harga getah dijangka kekal tinggi tahun ini

KUALA LUMPUR: Harga getah gred SMR 20 dijangka kekal tinggi dan berlegar dalam lingkungan RM6.50 sekilogram sehingga RM7 sekilogram pada tahun ini didorong peningkatan permintaan global susulan pembukaan semula ekonomi, demikian jangkaan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Sementara itu, harga lateks pukal pula dijangka berlegar dalam lingkungan RM5.50 sekilogram kepada RM6 sekilogram pada tahun ini.

Harga purata semasa SMR 20 untuk Februari tahun ini adalah RM7.35 sekilogram manakala lateks pukal pula adalah RM6.31 sekilogram, masing-masing adalah lebih tinggi berbanding RM5.50 dan RM4.57 pada bulan sama tahun 2020.

LGM berkata, terdapat pelbagai faktor yang akan menyokong jangkaan harga yang memberangsangkan itu termasuk harga minyak mentah dunia yang tinggi, peningkatan pengeluaran kenderaan global, kekurangan bekalan getah dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ia berkata, tinjauan Pasaran Komoditi Oktober 2021 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 21 Oktober 2021 mengunjurkan harga purata minyak meningkat kepada AS$74 setong pada 2022 daripada AS$70 setong yang diunjurkan pada 2021, sebelum berkurangan kepada AS$65 setong pada 2023.

Katanya, permintaan minyak dijangka meneruskan pemulihannya dan mencapai tahap pra-pandemik menjelang separuh kedua 2022.

"Peningkatan jangkaan pengeluaran kenderaan global dan jualan kenderaan di China. Pengeluaran kenderaan global diunjurkan International Rubber Study Group (IRSG) berkembang sebanyak 10.6 peratus pada 2022 sehingga 94.2 juta unit.

"Persatuan Pengilang Automobil China menjangkakan jumlah jualan kereta negara di China pada 2022 akan meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 27.5 juta unit dengan pemulihan keadaan kekurangan cip global," katanya bagi mengulas mengenai jangkaan harga getah bagi 2022.

LGM berkata, IRSG mengunjurkan jumlah pengeluaran getah asli akan terus berkembang sebanyak 3.5 peratus kepada 14.27 juta tan pada 2022, melebihi paras pra-pandemik 2019.

Pada masa yang sama, ia berkata, permintaan getah asli diunjurkan meningkat sebanyak tiga peratus kepada 14.29 juta tan.

Pada Jumaat lalu, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk SMR 20 naik 9.5 sen kepada RM7.42 sekilogram, manakala susu getah pukal meningkat 10 sen kepada RM6.92 sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada RM7.46 sekilogram manakala susu getah pukal pada RM6.99 sekilogram.

Mengulas lanjut pertumbuhan industri getah, LGM berkata, selepas mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan dan cemerlang sejak dua tahun lalu, industri getah Malaysia dijangka akan menghadapi pelarasan pasaran dan mengalami pertumbuhan negatif sebanyak -27 peratus pada 2022 kepada RM60 bilion berbanding RM82 bilion pada 2021.

Ia berkata, penurunan itu didorong oleh kejatuhan yang bakal dicatat oleh sektor produk getah RM40 bilion (-37 peratus), disumbang oleh penurunan marjin oleh industri sarung tangan akibat dari kejatuhan harga jualan sarung tangan pada 2022 walaupun permintaan sarung tangan dijangka kekal tinggi sehingga suku kedua 2022.

Katanya, eksport sarung tangan mewakili kira-kira 80 peratus dari jumlah keseluruhan eksport produk getah.

"Lain-lain sektor dijangka mencatatkan peningkatan eksport, yang mana sektor getah asli dijangka meningkat tiga peratus kepada RM7.2 bilion, lain-lain getah RM2.6 bilion (+4.0 peratus) dan produk kayu getah, RM10 bilion (+5.0 peratus).

"Pemulihan jualan kenderaan global akan meningkatkan permintaan getah dunia, dan ini adalah antara faktor penyumbang kepada nilai eksport getah negara yang lebih baik pada 2022. Secara keseluruhan, prestasi industri pada 2022 masih lebih tinggi berbanding pra-COVID (2019: RM40.77 bilion)," katanya.

Mengenai pengeluaran getah tahun ini, LGM berkata, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi sektor pengeluaran getah di Malaysia, termasuk kesan pandemik yang mana berlakunya kekurangan tenaga kerja berikutan langkah kawalan oleh kerajaan seperti kawalan sempadan bagi mengawal penularan wabak.

Ia berkata, berdasarkan kajian guna tenaga ladang getah LGM, didapati ladang getah menghadapi kekurangan sehingga 60 peratus bagi kategori penoreh dan pekerja ladang.

Malah, katanya, isu kekurangan penoreh itu turut berlaku dalam sektor pekebun kecil yang mengupah warga asing bagi menjalankan aktiviti penorehan.

Di samping itu, penyakit luruhan daun pokok getah (Pestalotiopsis) yang dilapor membabitkan lebih 70,000 hektar juga menjejaskan pengeluaran.

"Dalam pada itu tidak dinafikan banjir yang berlaku baru-baru ini memberi kesan kepada pengeluaran getah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah faktor utama kerana berdasarkan pemerhatian, banjir lebih tertumpu di luar kawasan penanaman getah.

"Namun begitu, pengeluaran pada 2022 dijangka meningkat sedikit iaitu di antara 520,000 tan hingga 540,000 tan berbanding unjuran 2021 iaitu sebanyak 500,000 tan disokong oleh jangkaan harga getah yang memberangsangkan," katanya.

Berita Harian X