Isnin, 24 Januari 2022 | 10:43am
Bangunan ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - Foto Bloomberg
Bangunan ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - Foto Bloomberg

Pelabur asing beli RM11.35 juta saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing membeli RM11.35 juta bersih ekuiti tempatan bagi minggu berakhir 21 Januari 2022 berbanding RM397.85 juta jualan bersih minggu sebelumnya, demikian menurut MIDF Research.

Ia berkata, pelabur asing dan peruncit masing-masing menjual RM70.04 juta dan RM18.67 juta bersih saham tempatan apabila pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lalu.

"Sementara itu, institusi tempatan memulakan minggu berkenaan sebagai pembeli bersih mencatatkan sebanyak RM88.71 juta," katanya dalam nota Penyelidikan Ekuiti, semalam.

MIDF Research berkata, jualan bersih oleh dana asing diteruskan pada hari Rabu selepas cuti umum perayaan Thaipusam pada hari Selasa, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

"Aliran keluar bersih daripada pelabur asing ialah RM27.73 juta, yang disertai oleh institusi tempatan dengan jualan bersih berjumlah RM13.5 juta dan pembelian bersih dilakukan oleh peruncit tempatan sebanyak RM41.23 juta," katanya.

Namun begitu, ia berkata pelabur asing menukar pendirian mereka dan menjadi pembeli bersih pada Khamis dan Jumaat, dengan aliran masuk asing terbesar sebanyak RM59.36 juta direkodkan pada Jumaat, diikuti RM49.76 juta pada Khamis.

Aliran keluar terbesar adalah pada hari Isnin pada iaitu sebanyak RM70.04 juta.

"Peruncit adalah pembeli bersih setiap hari untuk minggu berkenaan kecuali pada hari Isnin, dengan pembelian bersih terbesar sebanyak RM41.23 juta dicatatkan pada hari Rabu," katanya.

Bagi minggu itu, MIDF Research berkata peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM35.30 juta di Bursa Malaysia.

Sementara itu, ia berkata institusi tempatan merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul RM46.84 juta, menyaksikan institusi tempatan sebagai penjual bersih untuk kesemua hari urus niaga kecuali pada hari Isnin.

"Jualan bersih terbesar ialah pada hari Jumaat berjumlah RM62.64 juta," katanya.

Dari segi penyertaan, ia berkata pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing merekodkan pergerakan mingguan dalam purata nilai dagangan harian masing-masing pada -14.40 peratus, -6.54 peratus dan -9.17 peratus.

-BERNAMA

Berita Harian X