Khamis, 20 Januari 2022 | 7:41pm
Ringgit boleh disokong dengan baik dan akan terus meningkat sepanjang tahun ini - Foto Reuters
Ringgit boleh disokong dengan baik dan akan terus meningkat sepanjang tahun ini - Foto Reuters

OPR kekal, ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Nada positif berterusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia membantu menaikkan ringgit untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)' hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu didagangkan pada 4.1880/1910 berbanding dolar AS daripada 4.1925/1950 yang direkodkan semasa penutupan semalam.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa bank pusat itu kelihatan yakin dengan keadaan ekonomi kerana pelancaran program vaksinasi mendorong pembukaan semulanya.

Awal hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Menurut BNM, keadaan pasaran buruh juga bertambah baik di banyak negara, walaupun beberapa negara telah memperkenalkan semula langkah bagi membendung penularan kembali COVID-19 sehingga menyebabkan sedikit kesederhanaan pada kadar pemulihan dalam aktiviti domestik, terutama perkhidmatan.

BNM juga menambah purata inflasi keseluruhan berkemungkinan kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api mereda.

"Kami mengekalkan seranan bahawa OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022 ," kata Mohd Afzanizam.

Sehubungan itu, beliau percaya ringgit boleh disokong dengan baik dan akan terus meningkat sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, mata wang tempatan itu didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding euro kepada 4.7521/7555 daripada 4.7553/7575 tetapi menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1103/1130 daripada 3.1086/1095 semalam.

Ringgit juga kelihatan lemah berbanding pound British pada 5.7066/7107 daripada 5.7018/7036 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.6640/6670 daripada 3.6600/6625 sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X