Rabu, 19 Januari 2022 | 7:48pm
Pelabur memantau pergerakan harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Pelabur memantau pergerakan harga saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia jatuh 12.59 mata lagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah hari ini dengan indeks utama turun sebanyak 0.82 peratus berikutan sentimen lemah pasaran yang diterajui oleh saham perbankan menjelang keputusan mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari pertama Bank Negara Malaysia bagi 2022 pada Khamis.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.59 mata kepada 1,530.33 daripada paras penutup 1,542.92 pada Isnin selepas dibuka rendah turun 1.22 mata kepada 1,541.70.

Indeks utama turun naik antara jajaran 1,525.55 dan 1,541.70 sepanjang sesi dagangan.

Kaunter perbankan CIMB susut 18 sen kepada RM5.33, Maybank turun sembilan sen kepada RM8.32 dan Public Bank jatuh empat sen kepada RM4.18, yang secara gabungan menyumbang 6.53 mata kepada penurunan indeks utama.

Keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 780 berbanding 258, manakala 346 kaunter tidak berubah, 864 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.57 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Hari Thaipusam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI rendah hari ini sejajar dengan tekanan jualan berterusan di seluruh rantau ini terutamanya dalam saham perbankan dan perjudian.

Beliau berkata, pasaran serantau utama juga mencatatkan prestasi negatif apabila lonjakan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan jualan berterusan global.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent meneruskan aliran meningkatnya untuk ditutup hampir ke paras AS$89 setong di tengah-tengah gangguan bekalan ekoran serangan terbaharu ke atas Emiriah Arab Bersatu.

"Kami menjangka minat belian terhadap kaunter minyak dan gas tempatan kekal kukuh dalam tempoh terdekat hingga sederhana. Sebarang penurunan selanjutnya mungkin menarik aktiviti membeli saham berharga rendah.

"Oleh itu kami mengunjur FBM KLCI bergerak antara jajaran 1,520-1,540 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,520 manakala paras ketahanan pada 1,570," kata Thong kepada Bernama.

Pada hari ini minyak mentah Brent meningkat 0.33 peratus kepada AS$87.80 setong.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei 225 Jepun berkurangan 2.80 peratus kepada 27,467.23, Indeks Straits Times Singapura turun 0.03 peratus kepada 3,279.05 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.06 peratus kepada 24,127.85.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Petronas Chemicals dan TNB kedua-duanya meningkat tiga sen masing-masing kepada RM8.98 dan RM9.07, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.56, Press Metal turun empat sen kepada RM5.88 dan Hong Leong Bank berkurangan 30 sen kepada RM19.50.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang NeXchange menokok 4.5 sen kepada 91 sen, Sarawak Consolidated meningkat 6.5 sen kepada 27 sen, AHB Holdings naik setengah sen kepada 13.5 sen, EA Holdings dan SMTrack susut satu sen setiap satu masing-masing kepada 1.5 sen dan 22.5 sen, manakala AirAsia turun 2.5 sen kepada 59 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 127.68 mata kepada 10,974.62, Indeks FBMT 100 susut 121.05 mata kepada 10,685.68, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 108.93 mata kepada 11,669.09, FBM ACE jatuh 151.61 mata kepada 6,091.56 dan FBM 70 susut 297.84 mata kepada 13,488.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 246.55 mata kepada 15,844.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.89 mata kepada 199.05, manakala Indeks Perladangan meningkat 7.74 mta kepada 6,670.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.35 bilion saham bernilai RM2.37 bilion daripada 1.64 bilion saham bernilai RM1.80 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 260.14 juta unit bernilai RM25.76 juta daripada 203.99 juta unit bernilai RM22.77 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 953.68 juta saham bernilai RM212.41 juta daripada 730.73 juta saham bernilai RM176.58 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 524.83 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (594.94 juta), pembinaan (145.14 juta), teknologi (516.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.70 juta), hartanah (144.03 juta), perladangan (13.09 juta), REITs (9.96 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (191.44 juta), penjagaan kesihatan (52.56 juta), telekomunikasi dan media (17.12 juta), pengangkutan dan logistik (30.30 juta) dan utiliti (21.37 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X