Isnin, 17 Januari 2022 | 9:09pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah hari ini dengan indeks utama susut 0.80 peratus susulan sentimen pasaran yang lemah dan aktiviti jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui Dialog Group dan Petronas Chemicals.

Kedua-dua kaunter itu menyumbang gabungan 4.19 mata kepada penurunan indeks utama.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.41 mata kepada 1,542.92 daripada paras penutup 1,555.33 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah susut 1.53 mata kepada 1,553.80 dan turun naik antara paras 1,541.07 dan 1,555.31 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 556 berbanding 336 manakala 408 kaunter tidak berubah, 952 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.59 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 3.61 bilion unit bernilai RM2.95 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah apabila para pelabur terus mengambil keuntungan terutamanya daripada kaunter berkaitan minyak dan gas serta saham wajaran tinggi perbankan.

Bursa Malaysia juga menongkah arus trend serantau apabila kebanyakan pasaran utama ditutup tinggi susulan data ekonomi positif dari China apabila keluaran dalam negara kasarnya berkembang 4.0 peratus tahun ke tahun dan 1.6 peratus suku ke suku dalam suku keempat 2021.

"Sementara itu, pelabur berhati-hati menjelang mesyuarat Bank of Japan minggu ini apabila penggubal dasar membahaskan berapa lama lagi kadar faedah akan dinaikkan.

"Di dalam negara, meskipun suasana pasaran yang berhati-hati kami menjangkakan berlakunya aktiviti membeli saham berharga rendah memandangkan penilaian murah saham tempatan, aliran masuk berterusan pelabur asing dan keadaan makroekonomi yang bertambah baik di negara ini," katanya.

Oleh itu, FBM KLCI dijangka bergerak dalam jajaran 1,540-1,560 minggu ini dengan paras ketahanan pada 1,570 dan paras sokongan pada 1,530, katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.74 peratus kepada 28,333.52, Indeks Straits Times Singapura naik 0.17 peratus kepada 3,287.57 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.68 peratus kepada 24,218.03.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Dialog Group susut 22 sen kepada RM2.67, Petronas Chemicals berkurangan 14 sen kepada RM8.95, Press Metal turun 13 sen kepada RM5.92 manakala TNB tidak berubah pada RM9.04 dan Public Bank naik dua sen kepada RM4.22.

Dalam kalangan kaunter cergas, Komarkcorp menokok 1.5 sen kepada 15 sen, Dagang NeXchange menambah 2.5 sen kepada 86.5 sen, Iconic Worldwide naik dua sen kepada 30 sen, Kanger International tidak berubah pada dua sen, SMTrack jatuh 5.5 sen kepada 23.5 sen, AirAsia turun setengah sen kepada 61.5 sen dan AHB berkurangan 1.5 sen kepada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 76.22 mata kepada 11,102.30, Indeks FBMT 100 susut 78.92 mata kepada 10,806.73, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 102.79 mata kepada 11,778.02, FBM ACE jatuh 36.46 mata kepada 6,243.17 dan FBM 70 turun 65.94 mata kepada 13,786.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 60.92 mata kepada 16,091.16, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.02 mata kepada 200.94 dan Indeks Perladangan jatuh 98.37 mata kepada 6,663.18.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.64 bilion saham bernilai RM1.80 bilion berbanding 2.36 bilion saham bernilai RM2.65 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 203.99 juta unit bernilai RM22.77 juta daripada 262.03 juta unit bernilai RM31.58 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 730.73 juta saham bernilai RM176.58 juta daripada 968.34 juta saham bernilai RM266.65 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 411.40 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (462.62 juta), pembinaan (81.26 juta), teknologi (277.88 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (58.80 juta), hartanah (124.26 juta), perladangan (10.41 juta), REITs (4.93 juta), dana tertutup (23,200), tenaga (117.52 juta), penjagaan kesihatan (34.58 juta), telekomunikasi dan media (16.35 juta), pengangkutan dan logistik (21.50 juta) dan utiliti (19.21 juta).

– Bernama

Berita Harian X