Isnin, 17 Januari 2022 | 9:01pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kebimbangan baharu mengenai COVID-19 boleh menjejaskan momentum pemulihan global.

Prestasi ringgit itu dicatatkan apabila data pertumbuhan ekonomi China yang perlahan telah melonjakkan permintaan terhadap dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1815/1835 berbanding dolar AS daripada 4.1765/1795 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata secara jelasnya dasar COVID-19 sifar yang dilaksanakan China telah memberi kesan negatif apabila pertumbuhan ekonominya bagi suku keempat 2021 susut kepada 4.0 peratus daripada 4.9 peratus pada suku ketiga.

Beliau berkata selain itu China telah mengumumkan pertumbuhan jualan runcit mengalami prestasi sederhana yang ketara kepada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Disember daripada 3.9 peratus pada bulan sebelumnya.

"Setakat ini, bank pusat China telah mengurangkan kadar faedah penanda arasnya, iaitu Kemudahan Pinjaman Jangka Sederhana satu tahun sebanyak 10 mata asas kepada 2.85 peratus. Justeru, dolar AS telah memperoleh lagi asas pergerakan kukuh," katanya.

Mohd Afzanizam berkata penyimpangan langkah dasar monetari antara AS dan China juga boleh memberi cabaran besar kepada mata wang negara pesat membangun dalam jangka terdekat.

Di peringkat tempatan, peserta pasaran akan memantau rapat mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini untuk mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai kadar faedah dan ekonomi.

Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Jan, 2022.

Bagi dagangan hari ini, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1020/1039 daripada 3.1045/1070 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu, dan meningkat berbanding yen kepada 3.6523/6544 daripada 3.6675/6704.

Ringgit kukuh berbanding pound Britain kepada 5.7207/7234 daripada 5.7339/7380 dan stabil berbanding euro kepada 4.7774/7796 daripada 4.7846/7880. - BERNAMA

Berita Harian X