Isnin, 17 Januari 2022 | 5:12pm

Ringgit bakal pulih apabila ekonomi bangkit - HSBC

KUALA LUMPUR: HSBC Group percaya ringgit yang di bawah nilai ketika ini bakal pulih pada 2022 apabila ekonomi Malaysia dijangka bangkit semula daripada kemelesetan 'berganda' meskipun terdapat banyak ketidaktentuan.

Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC Group Frederic Neumann berkata walaupun gandingan dolar AS-Ringgit berlegar hampir pada paras tertingginya pada tahun ini berikutan pelbagai cabaran luaran, bank itu optimis dengan prospek penggunaan dan tinjauan eksport Malaysia.

"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka terus meningkat berdasarkan kepada permohonan FDI yang diluluskan sebelum ini dan ini dijangka dapat menyokong ringgit sebagai sumber pertumbuhan," katanya semasa taklimat HSBC Asian Outlook 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata penormalan dasar Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga boleh membantu unit tempatan mengekalkan kelebihan hasil berbanding dolar AS dan mengekalkan kadar sebenar positif.

"Keyakinan tinggi terhadap ekonomi domestik dan aset tempatan juga akan membantu mengekang pemilikan aset asing oleh penduduk," kata Neumann.

Beliau berkata selain daripada perkembangan varian terkini COVID-19, risiko lain yang boleh mempengaruhi prospek positif unit tempatan itu adalah ketidaktentuan politik yang mungkin menjejaskan sentimen dan aliran modal.

Menurutnya, memandangkan pasaran tenaga kerja semakin mengukuh, inflasi teras mungkin berada dalam aliran tinggi secara beransur-ansur, menghampiri dua peratus menjelang akhir 2022.

"Ini akan membolehkan BNM memulakan proses mengetatkan dasar secara perlahan-lahan pada separuh kedua 2022 dan kami menjangkakan kenaikan kadar 100 mata asas bagi 2022 dan 2023," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia ketika ini menerima bahagian komitmen FDI tertinggi di Asia yang memberikan prospek yang baik bagi masa depan dan tinjauan sektor pembuatan.

Mengenai prospek ekonomi Asia, beliau berkata varian Omicron menular dengan pantas di banyak negara dan ia dijangka menjejaskan aktiviti ekonomi pada suku pertama 2022.

"Bagaimanapun, kami menjangka pertumbuhan ekonomi Asia berada pada 5.3 peratus pada 2022 – lebih rendah berbanding tahun lepas tetapi masih menunjukkan pemulihan dan penormalan yang berterusan," kata Neumann.

Beliau berkata risiko inflasi masih kekal tetapi bank itu yakin inflasi tidak akan menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan negara Asia tahun ini.

"Walaupun sekiranya Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah tahun ini, kebanyakan bank pusat Asia mampu untuk bangkit perlahan-lahan dan menyelaraskan kadar faedah secara beransur-ansur.

"Ini akan membantu menyokong pemulihan permintaan domestik kerana dasar monetari masih kekal akomodatif," katanya.

– Bernama

Berita Harian X