Isnin, 17 Januari 2022 | 11:30am

Pelabur asing pembeli bersih saham tempatan minggu lalu

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjadi pembeli bersih bagi minggu berakhir pada 14 Januari dengan aliran masuk sebanyak RM397.85 juta, menurut MIDF Research.

Katanya apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing dan peruncit membeli ekuiti tempatan, masing-masing sebanyak RM36.82 juta dan RM5.41 juta bersih manakala institusi tempatan menjadi penjual bersih sebanyak -RM42.23 juta.

"Warga asing adalah penjual bersih pada setiap hari pada minggu tersebut. Aliran masuk asing yang terbesar dicatatkan pada Selasa berjumlah RM171.58 juta manakala aliran masuk yang terkecil pada Jumaat hanya sebanyak RM0.53 juta," menurut MIDF dalam Penyelidikan Ekuitinya.

Firma penyelidikan itu berkata institusi tempatan merupakan penjual yang aktif pada minggu lalu.

Aliran keluar bersih yang terbesar dicatatkan pada Selasa dan terkecil pada Isnin, masing-masing berjumlah -RM167.65 juta dan -RM42.23 juta.

Ia bertentangan dengan peruncit yang menjadi pembeli bersih kecuali pada Selasa (RM3.92 juta).

"Belian bersih yang terbesar dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM113.64 juta manakala belian bersih yang terkecil pada Rabu sebanyak -RM3.60 juta," katanya.

Secara keseluruhannya, pada minggu kedua 2022, institusi tempatan dan pelabur asing kukuh sebagai pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM132.79 juta dan RM397.85 juta manakala peruncit merupakan penjual bersih sebanyak -RM530.64 juta," menurut MIDF.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing, masing-masing mencatatkan pergerakan mingguan sebanyak 18.39 peratus, 41.52 peratus dan 39.54 peratus dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV).

– Bernama

Berita Harian X