Ahad, 16 Januari 2022 | 11:38am
Kerajaan negara Asia melaksanakan dasar COVID-19 yang berbeza untuk menangani ancaman gelombang Omicron - Foto Bloomberg
Kerajaan negara Asia melaksanakan dasar COVID-19 yang berbeza untuk menangani ancaman gelombang Omicron - Foto Bloomberg

Gelombang Omicron tarik minat pelabur saham ke Malaysia

HONG KONG: Pasaran saham Singapura, Korea Selatan, Taiwan, China dan Malaysia berpotensi muncul pilihan utama pelabur di tengah-tengah gelombang jangkitan Omicron.

Pasaran saham Asia setakat tahun ini mengatasi prestasi pasaran di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Asia akan lebih bersedia untuk berdepan gelombang Omicron, yang mungkin bersifat sementara," kata ahli strategi Modular Asset Managament, Wai Ho Leong.

"Pasaran yang mempunyai kadar vaksinasi lebih baik dan melaksanakan sekatan penjarakan sosial bersesuaian juga dijangka pulih lebih pantas daripada gelombang ini."

Ancaman varian Omicron menjadi nyata bagi kebanyakan negara terbesar Asia pada ketika ia mulai reda di sebahagian negara Barat, sekali gus merumitkan lagi pencarian pelabur untuk saham yang terbaik di rantau ini.

Kerajaan negara Asia melaksanakan dasar COVID-19 yang berbeza, dengan strategi daripada sifar COVID oleh China hinggalah langkah Australia untuk hidup bersama virus dan pelbagai kaedah lain di antaranya.

Kadar vaksinasi dan tahap sistem penjagaan kesihatan turut berbeza di rantau Asia.

Ia satu lagi contoh bagaimana COVID-19 memaksa pelabur untuk berdepan cabaran baharu, walaupun ramai dalam kalangan mereka positif terhadap kemampuan Asia untuk berdepan cabaran ini memandangkan negara-negara yang terbaik di rantau ini berjaya mengekalkan kadar kematian di paras lebih rendah berbanding tempat lain.

Pasaran saham Asia mencatatkan prestasi lebih baik berbanding AS dan Eropah setakat tahun ini, selepas gagal menyainginya pada 2021.

Negara Barat dari Switzerland hingga Sepanyol dan United Kingdom (UK) sudah membayangkan bahawa pandemik COVID-19 akan beralih ke fasa endemik.

Di Asia, gelombang Omicron sedang mula meningkat, dengan kes melonjak di Asia, pertambahan jangkitan di Tokyo menyebabkan pihak berkuasa menaikkan amaran COVID-19 manakala Hong Kong memperluaskan sekatan sosial.

Tidak mampu berdepan sekatan pergerakan penuh, negara-negara Eropah kebanyakannya menolak pelaksanaan pendekatan sedemikian.

Kebanyakan negara Asia menolak naratif bahawa impak Omicron lebih kecil dan rendah," kata penganalisis kanan pasaran Asia Pasifik di Oanda, Jeffrey Halley, dalam satu laporan.

Dua pasaran terbesar serantau adalah antara yang melaksanakan langkah lebih ketat.

Di China contohnya, kejayaan negara itu dalam membendung virus bermakna pelabur tidak begitu bimbang dengan ancaman Omicron.

"Walaupun sekatan pergerakan terpencil boleh menjejaskan sebahagian lokasi buat sementara, ia berkemungkinan hanya memberikan impak kecil terhadap ekonomi secara keseluruhan," kata pengarah pelaburan ekuiti China dan Asia GAM Investments di Zurich, Jian Shi Cortesi.

"Ekonomi China mengamalkan langkah sifar COVID, dengan kebanyakan sektor beroperasi secara normal. Bagi kebanyakan rakyat, kehidupan diteruskan seperti biasa."

-Bloomberg

Berita Harian X