Khamis, 13 Januari 2022 | 8:24pm
Bekalan minyak sawit dan permintaan kekal terhad - Foto Bloomberg
Bekalan minyak sawit dan permintaan kekal terhad - Foto Bloomberg

Harga sawit dijangka turun mulai pertengahan 2022

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) akan melemah sedikit dalam tempoh enam bulan akan datang tahun ini, di tengah-tengah pengeluaran yang terhad sehingga menyebabkan harga kekal melebihi RM4,700 satu tan, kata LMC International Ltd.

Ketuanya di Asia Tenggara, Julian Conway McGill, berkata harga MSM akan kekal tinggi manakala bekalan minyak sawit dan permintaan kekal terhad.

"Hanya menjelang akhir 2022, pengeluaran MSM akan melebihi paras 2019," katanya pada Seminar Unjuran dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2022 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia hari ini.

Beliau berkata sehingga akhir 2022, pengeluaran minyak sawit Malaysia akan pulih tetapi kekal di bawah paras 2019.

Bagi Indonesia, selepas separuh pertama 2021 yang sangat kukuh, pengeluarannya akan diseimbangkan dan pertumbuhan mula menjelma pada suku keempat dengan paras tanaman yang lebih baik, katanya.

Menurut McGill lagi, walaupun tanaman kacang soya memuaskan, tahap hancurnya berada di bawah paras 2020 di kebanyakan pengeluar dan pengimport utama, mengehadkan jumlah minyak yang dihasilkan sebagai produk bersama.

Di samping itu, apabila margin kehancuran bertambah baik, bekalan minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS) akan menjadi lebih kompetitif.

"Di China, pemotongan kuasa melemahkan industri penghancuran walaupun margin yang lebih baik, tetapi selepas Tahun Baru Cina, industri penghancuran ini akan meningkat sejajar dengan pembangunan semula industri penternakan babi.

"Ketersediaan minyak sawit yang agak terhad serta penghancuran kacang soya yang lebih besar akan menyebabkan imbangan import India beralih ke arah minyak kacang soya dan bunga matahari buat masa ini," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X