Khamis, 13 Januari 2022 | 7:59pm
Harga minyak mentah yang lebih tinggi akan membina kekuatan untuk ringgit - Foto hiasan
Harga minyak mentah yang lebih tinggi akan membina kekuatan untuk ringgit - Foto hiasan

Ringgit meningkat hari ketujuh berturut-turut

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menaik untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketujuh berturut-turut, seiring dengan kenaikan harga minyak mentah Brent, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.1750/1775 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.1845/1860 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa harga minyak mentah yang lebih tinggi akan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal untuk kerajaan menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini.

"Semua ini akan membina kekuatan untuk ringgit yang boleh mendorong kadar dasar semalaman yang lebih tinggi tahun ini," katanya.

Pada 6.12 petang, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.34 peratus kepada AS$84.96 setong.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.6450/6472 daripada 3.6280/6296 semalam, merosot berbanding euro kepada 4.7883/7912 daripada 4.7565/7582 pada Rabu, jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1034/1055 daripada 3.0976/0989 dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7348/7382 daripada 5.7043/7064.

-BERNAMA

Berita Harian X