Rabu, 5 Januari 2022 | 12:58pm
Sarung tangan getah dianggap peralatan perlindungan peribadi yang penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19 - Foto Reuters
Sarung tangan getah dianggap peralatan perlindungan peribadi yang penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19 - Foto Reuters

Varian baharu IHU lonjak saham sarung tangan getah

KUALA LUMPUR: Harga saham pengeluar utama sarung tangan getah tempatan iaitu Top Glove Corporation Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Supermax Corporation Bhd dalam dagangan di Bursa Malaysia hari ini susulan berita berhubung kemunculan varian baharu virus COVID-19 yang dikenali sebagai IHU.

Setakat tengah hari, saham Top Glove meningkat 14 sen atau 6.01 peratus kepada RM2.47, Hartalega menokok 24 sen atau 4.35 peratus kepada RM5.76, Kossan menambah lapan sen atau 4.28 peratus kepada RM1.95, manakala Supermax naik tujuh sen atau 4.86 peratus kepada RM1.51.

Kenaikan harga saham pengeluar sarung tangan getah adalah berikutan produk itu dianggap peralatan perlindungan peribadi yang penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Peningkatan itu juga membolehkan indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia muncul yang paling menguntungkan semalam.

Setakat tengah hari ini, indeks penjagaan kesihatan melonjak 47.89 mata atau 2.12 peratus kepada 2,301.62.

Saintis di Perancis mengenal pasti varian baharu IHU yang berpotensi membimbangkan.

Portal berita melaporkan varian baharu iaitu B.1.640.2 setakat ini menjangkiti 12 orang yang tinggal di tenggara Perancis.

Kes pertama dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Cameroon, Afrika Barat, kata penyelidik dalam kertas yang diterbitkan di medRxiv.

Bagaimanapun, pakar segera mengumumkan hanya kerana varian baharu ditemukan, itu tidak bermakna IHU akan terbukti menular seperti strain lain, termasuk Omicron.

Dalam analisis, penulis menemui 46 mutasi yang tidak dikesan di negara lain, atau melabelkan varian yang sedang disiasat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perkembangan terkini itu berlaku ketika dunia sedang berdepan penularan varian Omicron yang pantas berjangkit, namun dikatakan kurang berbahaya berbanding varian terdahulu.

Kaunter sarung tangan muncul antara saham yang mencuri tumpuan semasa pandemik bermula di seluruh dunia yang mencetuskan sekatan pergerakan menyeluruh.

Bagaimanapun, pembukaan semula aktiviti ekonomi menyebabkan saham sarung tangan bergelut untuk mengekalkan kenaikan sepanjang tahun lalu.

Pengeluar sarung tangan getah tempatan turut melaporkan prestasi kewangan yang bercampur-campur sepanjang tahun lalu, berikutan purata harga jualan yang lebih rendah dan persaingan daripada pengeluar dari negara lain, terutama China.

Berita Harian X