X
Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:20pm
Ringgit dijangka lemah berikutan ketidaktentuan dalam jangka terdekat - Foto hiasan
Ringgit dijangka lemah berikutan ketidaktentuan dalam jangka terdekat - Foto hiasan

Ringgit berdepan situasi tidak menentu sepanjang 2021

KUALA LUMPUR: Ringgit terus terdedah dengan turun naik tidak menentu yang ketara dalam pasaran global dan tempatan sepanjang 2021, di tengah-tengah penularan pelbagai varian COVID-19 baharu.

Setakat ini, ringgit menyusut 3.7 peratus kepada RM4.17 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas memulakan 2021 pada paras RM4.02 sedolar.

Dalam jangka pendek, mata wang tempatan itu dijangka lemah berikutan ketidaktentuan dan dijangka berlegar sekitar paras antara RM4.16 hingga RM4.18 sedolar.

Pada suku pertama 2021, ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS berikutan pengukuhan dolar AS yang mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun termasuk ringgit secara umumnya menjadi semakin lemah.

Namun, pada suku kedua 2021, mata wang tempatan itu menambah nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS disokong oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi.

Seterusnya, pada suku ketiga 2021, ringgit kembali menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS berikutan pengukuhan mata wang ekonomi utama dunia itu secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan AS bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir 2021.

Namun, prestasi ringgit terus disokong oleh prospek domestik yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang lebih tinggi.

Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan dan pertukaran asing dijangka mengalami turun naik tidak menentu yang berkala.

Bagi 2022, TA Securities menjangkakan ringgit akan sedikit melemah dengan berlegar pada paras purata sekitar RM4.20 berbanding satu dolar AS berbanding purata sekitar RM4.15.

Ia berkata, tekanan inflasi, stagflasi, peningkatan semula kes COVID-19, ketidaktentuan politik domestik dan geopolitik dilihat sebagai risiko utama pada 2022.

"Reaksi dasar monetari yang agresif untuk membendung inflasi, terutamanya di AS, akan menjejaskan aset berisiko," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menjangkakan, secara umumnya ringgit dijangka mengukuh pada 2022 sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang bakal lebih rancak berikutan kegiatan ekonomi yang lebih terbuka dan aktif.

Justeru, beliau berkata, jangkaan pemulihan ekonomi dilihat bakal menyaksikan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022.

"Bagi 2022, ringgit berbanding dolar AS dijangka berada pada paras RM4.09 pada akhir tahun. Meskipun demikian, nilai mata wang serata dunia dijangka akan terus meruap disebabkan beberapa perkara seperti kenaikan kadar inflasi serta proses kenaikan kadar faedah yang bakal berlaku dalam keadaan tidak sekata di serata dunia.

"Suasana ketidakpastian akan menyumbang kepada kemeruapan di dalam pasaran mata wang," katanya kepada BH.

Namun begitu, Mohd Afzanizam mengingatkan risiko penurunan masih jelas kelihatan terutama berkaitan penularan COVID-19 serta sebarang langkah yang membawa kepada sekatan dan kawalan pergerakan.

Beliau berkata, situasi itu, jika berlaku boleh melemahkan nilai ringgit disebabkan berlakunya permintaan yang tinggi terhadap mata wang selamat ketika situasi gawat.

Berita Harian X