Khamis, 30 Disember 2021 | 8:27pm
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Kenaikan enam hari berturut-turut Bursa Malaysia berakhir

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan selama enam hari berturut-turut dengan ditutup rendah pada Khamis, mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran global yang bercampur-campur, berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 1.43 mata untuk mengakhiri dagangan pada 1,543.61 daripada 1,545.04 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 0.31 mata lebih lemah kepada 1,544.73, sebelum mengalami dagangan menjadi tidak menentu sepanjang hari ini dan bergerak di antara 1,539.57 dengan 1,547.75.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 448 berbanding 408 manakala 436 kaunter tidak berubah, 1,019 kaunter tidak diniagakan dan 53 kaunter yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.24 bilion unit bernilai RM1.51 bilion daripada 2.41 bilion unit bernilai RM1.83 bilion pada Rabu.

Indeks serantau utama kebanyakannya mengalami penurunan berikutan prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur.

Nikkei 225 Jepun susut 0.40 peratus kepada 28,791.71; KOSPI Korea Selatan menguncup 0.52 peratus kepada 2,977.65; Indeks Strait Times Singapura turun 0.36 peratus kepada 3,126.64 namun Hang Seng Hong Kong meningkat 0.11 peratus kepada 23,112.01.

Antara saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM8.79, Public Bank kurang empat sen kepada RM4.15, Hong Leong Bank turun 24 sen kepada RM18.44 dan Maybank menguncup tiga sen kepada RM8.30.

Bagi saham aktif, SMTrack menokok dua sen kepada 17.5 sen, AT Systematization kurang setengah sen kepada tiga sen, XOX dan DGB masing-masing tidak berubah pada tiga sen, dan NWP meningkat satu sen kepada 25 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 25.88 mata kepada 12,080.11; FBM 70 menambah 11.86 mata kepada 14,236.90 manakala FBM ACE meningkat 30.69 mata kepada 6,393.66.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas adalah 5.16 mata lebih rendah kepada 11,190.05 dan Indeks FBMT 100 turun 5.65 mata kepada 10,890.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 108.52 mata kepada 15,512.53, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.48 mata kepada 201.60 namun Indeks Perladangan meningkat 43.70 mata kepada 6,588.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama sebanyak 1.23 bilion saham bernilai RM1.32 bilion berbanding 1.39 bilion saham bernilai RM1.6 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 140.92 juta unit bernilai RM18.53 juta daripada 168.21 juta unit bernilai RM22.1 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 873.75 juta saham bernilai RM165.78 juta daripada 840.37 juta saham bernilai RM211.51 juta semalam.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbangkan 222.81 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (440.25 juta), pembinaan (39.37 juta), teknologi (206.97 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (54.92 juta), hartanah (67.27 juta), perladangan (7.85 juta), REIT (6.70 juta), dana tertutup (55,000), tenaga (63.87 juta), penjagaan kesihatan (59.36 juta), telekomunikasi dan media (24.21 juta), pengangkutan dan logistik (25.77 juta ) serta utiliti (9.49 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X