Rabu, 29 Disember 2021 | 7:38pm
Ringgit dijangka berlegar sekitar paras RM4.180 minggu ini - Foto hiasan
Ringgit dijangka berlegar sekitar paras RM4.180 minggu ini - Foto hiasan

Trend peningkatan ringgit berakhir hari ini

KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut daripada kenaikan beberapa hari sebelum ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap mata wang selamat itu apabila kenaikan ekuiti mereda menjelang hujung tahun, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.1800/1805 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1785/1830 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi dolar AS berbanding ringgit turun naik daripada paras setinggi RM4.185 kepada paras serendah RM4.1800 hari ini.

Beliau berkata, dolar AS mendapat rangsangan berbanding mata wang utama lain seperti euro, yen dan pound yang membawa kepada kenaikan Indeks Dolar AS sebanyak 0.12 peratus melepasi paras 96.138 mata.

"Dolar AS/ringgit Malaysia berlegar sekitar paras RM4.180 selepas ia melepasi paras sokongan sebelumnya pada RM4.1862. Ringgit boleh menjadi konstruktif pada masa akan datang apabila kebimbangan terhadap varian Omicron COVID-19 agak mereda.

"Buat masa ini, ringgit dijangka ditutup pada pada paras itu mengakhiri tahun 2021 pada minggu ini. Bagi melepasi paras itu ringgit mungkin perlu melihat lebih banyak bukti yang meyakinkan bahawa pandemik COVID-19 terkawal untuk terus mencatatkan kenaikan seterusnya," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0856/0864 daripada paras penutup 3.0860/0898 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.7150/7156 daripada 4.7355/7406.

Ringgit menokok berbanding pound kepada 5.6062/6069 daripada 5.6188/6249 dan menambah berbanding yen kepada 3.6348/6355 daripada 3.6401/6444 sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X