Jumaat, 17 Disember 2021 | 8:38pm
Penggantungan jualan singkat PDT dan IDSS dijadualkan tamat pada 31 Disember 2021 - Foto hiasan
Penggantungan jualan singkat PDT dan IDSS dijadualkan tamat pada 31 Disember 2021 - Foto hiasan

Penggantungan jualan singkat IDSS, PDT dimansuh 1 Januari

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan memansuhkan penggantungan sementara jualan singkat intra hari (IDSS) dan jualan singkat intra hari oleh pedagang harian proprietari (jualan singkat PDT) pada 1 Januari 2022.

"Oleh yang demikian, pengecualian sementara PDT yang berkaitan jualan singkat PDT tidak lagi diguna pakai," kata SC dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Penggantungan jualan singkat PDT dan IDSS dijadualkan tamat pada 31 Disember 2021.

Menurut kenyataan itu, IDSS dan jualan singkat PDT akan dimulakan dengan langkah kawalan yang dipertingkatkan bagi memastikan kestabilan dan dagangan yang teratur berkuat kuasa 1 Januari 2022.

"Di samping had jualan singkat semasa, pesanan IDSS dan jualan singkat PDT mesti dimasukkan menurut 'peraturan at-tick'," katanya.

Katanya, di bawah pemakaian berautomasi peraturan 'at-tick', pesanan jualan singkat akan dilaksanakan pada harga permintaan semasa atau yang lebih tinggi.

Menurut kenyataan itu lagi, jualan singkat PDT hanya akan dibenarkan bagi sekuriti yang tersenarai sebagai sekuriti yang diluluskan di Pasaran Utama (sekuriti layak dagangan harian) dan yang mana PDT itu mempunyai perjanjian untuk meminjam sekuriti layak dagangan harian.

"SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan di peringkat tempatan dan global yang mempengaruhi pasaran sekuriti, dan mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah untuk menyokong pasaran yang adil dan teratur," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X