Jumaat, 17 Disember 2021 | 1:00pm
Kaunter saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan
Kaunter saham di Bursa Malaysia - Foto hiasan

Kaunter sarung tangan jejas pasaran saham Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia adalah antara yang mencatatkan prestasi terburuk tahun ini, berpunca daripada kaunter sarung tangan getah.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.6 peratus tahun ini, ketiga terburuk dalam kalangan indeks negara utama di seluruh dunia, dengan dua pertiga disebabkan oleh pengeksport sarung tangan perubatan, yang setahun lalu muncul saham paling menjadi tumpuan semasa pandemik.

Pengukur ekuiti itu berada dalam landasan mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan buat tahun ketiga jika dibandingkan dengan Indeks MSCI Asia Pasifik, dengan saham Top Glove Corp dan Hartalega Holdings Bhd adalah penyumbang terbesar kemerosotan.

Sama seperti pasaran lain, pelabur di Malaysia tidak berminat dengan saham berkaitan pandemik sebaliknya menumpukan kepada saham berkaitan pembukaan semula ekonomi, dipacu oleh liputan vaksin yang meluas serta penamatan sekatan pergerakan.

"Fokus pelabur pada masa ini beralih daripada sarung tangan kepada vaksinasi," kata pengarah Fortress Capital Asset Management Sdn Bhd, Geoffrey Ng.

"Sektor itu tidak dapat mempertahankan keuntungan kukuh pada 2020 dan mungkin akan terus mempengaruhi pasaran untuk beberapa suku akan datang."

Urus niaga pasaran saham Malaysia mencatatkan turun naik yang ketara, berpunca daripada ekonomi yang lemah disebabkan oleh sekatan dan perubahan kerajaan, hinggalah ketidaktentuan varian Omicron serta penjualan dana asing menjelang jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Indeks FBM KLCI pada Selasa lalu ditutup pada paras terendah dalam 13 bulan dan dalam landasan untuk mencatatkan penurunan tahunan terburuknya sejak krisis kewangan global.

Saham sebahagian pengeksport sarung tangan Malaysia kekal berada di bawah tekanan susulan tuduhan amalan buruh paksa.

Sementara itu, Top Glove pada 10 Disember lalu melaporkan kemerosotan 92 peratus perolehan suku pertama di tengah-tengah permintaan lebih lemah dan kos bahan mentah yang tinggi.

Sahamnya menerima turun taraf daripada penganalisis selepas keputusan kewangan itu dikeluarkan dan susut kira-kira 30 peratus setakat bulan ini.

Penurunan itu jauh berbeza daripada tahun lalu apabila saham sarung tangan menjadi salah satu dagangan paling mencuri tumpuan semasa kemuncak pandemik dan mendorong penyertaan semula pelabur amatur.

Keuntungan sektor itu amat luar biasa sehingga ia menjadikan rali dalam saham Tesla Inc dilihat tidak setanding buat beberapa ketika.

Malah, pada stau ketika, lebih AS$1 daripada setiap AS$10 yang dilabur dalam pasaran saham Malaysia adalah dalam sarung tangan getah, situasi yang menjadikannya sama seperti Korea Selatan dan Taiwan bagi sektor semikonduktor.

-Bloomberg

Berita Harian X