Khamis, 9 Disember 2021 | 6:46pm

Belian saat akhir beri sedikit momentum kepada pasaran

KUALA LUMPUR: Aktiviti belian lewat membabitkan kaunter wajaran tinggi terpilih, diketuai oleh Axiata menyaksikan dagangan di Bursa Malaysia mencatatkan perolehan kecil selepas satu lagi sesi dagangan yang tidak menentu.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.76 mata kepada paras tinggi seharian 1,501.79 berbanding 1,494.03 ketika ditutup petang Rabu.

Indeks utama dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,493.06 dan seterusnya mencecah paras rendah 1,491.82.

Walaupun indeks mencatatkan kenaikan, kurang daripada 20 peratus saham di bursa tempatan berada dalam zon positif.

Kaunter untung adalah sebanyak 458, kaunter rugi 401 manakala 448 kaunter tidak berubah, 996 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.73 bilion unit bernilai RM1.59 bilion daripada 3.74 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada urus niaga Rabu.

Seorang penganalisis berkata terdapat kekurangan faktor asas untuk memacu pasaran saham domestik.

"Axiata menjadi tumpuan kerana pelabur positif terhadap prospek masa depannya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pelabur juga sedang menanti data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mungkin mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan (Fed) untuk melancarkan semula pakej rangsangan.

Beliau percaya FBM KLCI mungkin mendapat dorongan daripada penilaian murah di pasaran tempatan serta prestasi positif di rantau ini.

Indeks Komposit Shanghai, Indeks Hang Seng, Indeks Komposit Kospi dan Indeks Straits Times semuanya didagangkan lebih tinggi.

Di pasaran domestik, saham wajaran tinggi Axiata melonjak 14 sen kepada RM3.84, Tenaga Nasional dan Sime Darby Plantation meningkat sembilan sen masing-masing kepada RM9.11 dan RM3.85, Petronas Dagangan naik 70 sen kepada RM20.30 dan MISC menokok lima sen kepada RM6.52.

IHH dan dan Dialog mengembang dua sen setiap satu kepada RM6.57 dan RM2.47.

Bagaimanapun, CIMB turun empat sen kepada RM5.24, Hartalega susut tujuh sen kepada RM5.52 dan Top Glove lemah tiga sen kepada RM2.41.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, Key Alliance dan NWP turun setengah sen setiap satu kepada lima sen, 1.5 sen dan 27 sen, ATA IMS meningkat satu sen kepada 50.5 sen, dan G3 Global susut empat sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 51.66 mata kepada 10,951.83, Indeks FBMT 100 menokok 52.73 mata kepada 10,654.58 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 77.31 mata kepada 11,841.39.

FBM 70 naik 60.91 mata kepada 14,175.48 tetapi FBM ACE turun 7.22 mata kepada 6,282.08.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.91 mata kepada 194.33, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.26 mata kepada 15,165.13, dan Indeks Perladangan mengembang 64.91 mata kepada 6,495.00.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.76 bilion saham bernilai RM1.40 bilion berbanding 2.02 bilion saham bernilai RM1.83 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 219.15 juta unit bernilai RM43.81 juta berbanding 309.01 juta unit bernilai RM50.96 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 624.22 juta saham bernilai RM144.37 juta daripada 1.35 bilion saham bernilai RM173.76 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 361.39 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (615.93 juta), pembinaan (55.76 juta), teknologi (199.78 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (53.46 juta), hartanah (56.16 juta), perladangan (11.38 juta), REIT (3.45 juta), dana tertutup (49,100), tenaga (276.73 juta), penjagaan kesihatan (50.73 juta), telekomunikasi dan media (31.49 juta), pengangkutan dan logistik (32.03 juta ) dan utiliti (12.48 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X