Isnin, 6 Disember 2021 | 6:34pm
Kaunter saham Bursa Malaysia - Foto hiasan
Kaunter saham Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia susut ke paras terendah dalam 13 bulan

KUALA LUMPUR: Kebimbangan kemungkinan varian baharu Omicron membawa impak ke atas pemulihan ekonomi global menyeret turun petunjuk pasaran utama Bursa Malaysia ke paras terendahnya dalam tempoh 13 bulan pada Isnin.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 18.29 mata atau 1.22 peratus kepada 1,483.45 berbanding 1,501.74 pada Khamis minggu lalu.

Petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.92 mata kepada 1,503.66 dan mencecah paras tertinggi hariannya pada 1,503.76 dalam sesi dagangan awal pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 789 berbanding 242, manakala 369 kaunter tidak berubah, 876 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.66 bilion unit bernilai RM2.57 bilion daripada 3.73 bilion unit bernilai RM3.06 bilion.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia pada Jumaat, varian baharu COVID-19 itu dikesan di 38 negara setakat ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau utama ditutup kebanyakannya rendah susulan kebimbangan yang berterusan terhadap varian Omicron, manakala pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu data ekonomi China yang dijadual dikeluarkan minggu ini dan juga pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

"Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan sentimen terus berhati-hati dan merasakan ketidaktentuan luaran akan menjadi halangan utama dan pada masa yang sama, FBM KLCI telah melepasi paras sokongan 1,490.

"Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran itu berlegar sekitar paras 1,480-1,490 bagi minggu ini. Dari segi teknikal kita mungkin melihat paras sokongan seterusnya pada 1,480 diikuti 1,455 manakala paras ketahanan pada 1,500," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Kaunter Top Glove menerajui penurunan, susut 24 sen kepada RM2.57, diikuti Axiata yang jatuh 14 sen kepada RM3.65.

Tenaga Nasional turun 18 sen kepada RM9.02, Petronas Gas berkurangan 28 sen kepada RM16.30 manakala Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM8.41.

Hanya enam kaunter wajaran tinggi berada dalam segmen positif, dengan CIMB naik lapan sen kepada RM5.24 dan Maybank meningkat empat sen kepada RM7.99.

Dalam kalangan kaunter cergas, XOX, VSolar, Sapura Energy dan MLabs Systems tidak berubah masing-masing berada pada tiga sen, 1.5 sen, lapan sen dan 3.5 sen.

Kanger International turun satu sen kepada tiga sen dan VS Industry naik 10 sen kepada RM1.25

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 128.97 mata kepada 10,809.94, Indeks FBMT 100 susut 126.82 mata kepada 10,518.93 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 203.87 mata kepada 11,711.03.

FBM 70 susut 157.14 mata kepada 13,972.89 dan FBM ACE jatuh 200.56 mata kepada 6,213.02.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.91 mata kepada 191.06, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 8.40 mata kepada 14,967.71 dan Indeks Perladangan berkurangan 81.26 mata kepada 6,394.15.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.98 bilion saham bernilai RM2.27 bilion berbanding 2.49 bilion saham bernilai RM2.76 bilion pada Khamis minggu lalu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 371.27 juta unit bernilai RM51.85 juta berbanding 318.31 juta unit bernilai RM40.36 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 1.19 bilion saham bernilai RM238.94 juta daripada 914.23 juta saham bernilai RM259.42 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 348.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (590.75 juta), pembinaan (73.36 juta), teknologi (234.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (103.96 juta), hartanah (132.70 juta), perladangan (17.39 juta), REITs (6.82 juta), dana tertutup (94,000), tenaga (224.65 juta), penjagaan kesihatan (132.41 juta), telekomunikasi dan media (46.79 juta), pengangkutan dan logistik (26.62 juta) dan utiliti (36.69 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X