Rabu, 24 November 2021 | 6:32pm
Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. - MAHZIR MAT ISA
Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. - MAHZIR MAT ISA

Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah pada Rabu berikutan ketiadaan pemangkin baharu, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.61 mata untuk ditutup kepada 1,522.27 daripada 1,522.88 pada Selasa.

Indeks itu dibuka tinggi naik 1.33 mata kepada 1,524.21 dan bergerak antara jajaran 1,521.12 dan 1,525.98 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 506 berbanding 402, manakala 440 kaunter tidak berubah, 993 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.04 bilion saham bernilai RM2.09 bilion daripada 2.70 bilion saham bernilai RM2.35 bilion sebelumnya.

Indeks utama serantau, bagaimanapun, ditutup bercampur-campur berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dana asing terus mengalir ke rantau ini manakala penilaian ke atas pasaran tempatan masih kekal menarik berbanding bursa serantau lain.

"Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI berlegar dalam jajaran 1,525-1,535 bagi tempoh berbaki minggu ini. Dari segi teknikal, sokongan segera tidak berubah pada 1,520 manakala paras ketahanan pada 1,565," katanya.

Di pasaran Asia, Nikkei 225 Jepun turun 1.58 peratus kepada 1.58 peratus, Indeks Straits Times Singapura naik 0.13 peratus kepada 3,231.59 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.14 peratus kepada 24,685.50.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Petronas Chemicals dan Axiata kedua-duanya meningkat tiga sen masing-masing kepada RM8.34 dan RM3.97, Public Bank tidak berubah pada RM4.07, Maybank susut empat sen kepada RM8.12, IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.69 dan TNB berkurangan enam sen kepada RM9.44.

Dalam kalangan kaunter cergas, Vsolar dan Dagang Nexchange menokok setengah sen setiap satu masing-masing kepada 1.5 sen dan 88 sen, G3 Global naik empat sen kepada 13.5 sen, WZ Satu menambah dua sen kepada 25 sen, ATA IMS susut tiga sen kepada RM1.17, manakala MY E.G. dan Bumi Armada turun satu sen masing-masing kepada RM1.08 dan 46.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 berkurangan 19.77 mata kepada 10,849.28, Indeks FBM Emas susut 20.26 mata kepada 11,193.15, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 20.98 mata kepada 12,136.17, FBM 70 turun 87.11 mata kepada 14,631.06 manakala FBM ACE meningkat 35.0 mata kepada 6,751.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.97 mata kepada 15,269.72, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.32 mata kepada 199.20 tetapi Indeks Perladangan meningkat 26.28 mata kepada 6,601.31.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.96 bilion saham bernilai RM1.79 bilion daripada 1.85 bilion saham bernilai RM2.05 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 343.07 juta unit bernilai RM76.05 juta daripada 316.03 juta unit bernilai RM63.74 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 716.62 juta saham bernilai RM226.51 juta daripada 526.74 juta saham bernilai RM236.77 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 311.21 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (655.0 juta), pembinaan (71.20 juta), teknologi (342.38 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.43 juta), hartanah (119.47 juta), perladangan (17.88 juta), REIT (13.38 juta), dana tertutup (449,400), tenaga (218.76 juta), penjagaan kesihatan (59.41 juta), telekomunikasi dan media (37.59 juta), pengangkutan dan logistik (45.91 juta) dan utiliti (18.13 juta).

– Bernama

Berita Harian X