Jumaat, 16 Julai 2021 | 6:22pm

'Hanya taktik perniagaan mereka fitnah minyak sawit Malaysia'

LEBIH seabad lalu, pokok sawit ditanam di Kuala Selangor menjadi antara komoditi terpenting dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang menyumbang lebih RM73.3 billion hasil eksport Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kegunaan pokok sawit dalam pelbagai sektor telah mencetuskan rasa iri hati pesaing minyak tropika terutama saingan kepada minyak soya, Amerika Syarikat.

Pelbagai tohmahan tidak berasas yang dilemparkan ke atas minyak sawit Malaysia lebih lima dekad ini seperti tiada kesudahan.

Sekitar tahun 60-an hingga 80-an, isu kesihatan dimainkan bagi menolak penggunaan serta eksport minyak sawit ke Amerika.

American Soybean Association, ASA, memperkecilkan kualiti minyak sawit Malaysia dengan alasan tidak baik untuk kesihatan, sedangkan minyak sawit adalah minyak sayuran terbanyak digunakan.

Malah, lebih daripada 400,000 pengusaha kacang soya Amerika menentang penggunaan minyak sawit yang dikatakan, mengandungi lemak tepu yang tinggi.

Pada tahun 2020, Amerika sekali lagi membangkitkan isu dengan mencadangkan agar produk sawit daripada syarikat FGV Holdings Berhad diharamkan.

Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) mendakwa, melalui hasil siasatannya mendapati FGV mengambil tenaga buruh paksa.

Tampil menjelaskan isu terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman, berkata isu buruh paksa adalah isu lama yang telah disangkal oleh Menteri Perusahaan Pertanian dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali pada Oktober tahun lalu.

"Malaysia memandang isu itu sebagai sesuatu yang serius dengan menghentikan pengambilan tenaga kerja warga asing di samping menutup pintu antarabangsa dalam usaha membendung penularan COVID-19.

"Ianya satu taktik pemasaran perniagaan mereka untuk melontarkan dakyah diskriminasi terhadap pesaing mereka.

"Dari segi MSPO pula, warga umum perlu tahu bahawa MSPO mempunyai prinsip yang memastikan pengusaha ladang sawit mematuhi keperluan undang-undang (prinsip 3) seperti Akta Kerja 1955 (pindaan 2012).

"Di bawah akta ini, setiap pekerja mempunyai hak pekerja dan tidak boleh dipaksa untuk melakukan pekerjaan tanpa kerelaan individu terbabit oleh majikan, " katanya pada perbincangan Bicara BH secara maya Sabtu, lalu.

Jaga kelestarian alam sekitar

Bukan sahaja di Malaysia, negara Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia turut terpalit dengan isu ini dan menghadapi tuduhan yang sama.

Enggan mengulas lanjut mengenai negara jiran, Mohammad Hafezh, berkata bahawa MSPO sering bekerjasama dengan ISPO dan Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) untuk menangkis tuduhan Kesatuan Eropah.

"Walau bagaimanapun, adalah lebih baik untuk saya menjawab persoalan ini bagi pihak Malaysia sahaja.

"Sebenarnya, masih ramai lagi warga kita hanya mengenal produk sawit adalah terhad kepada minyak masak sahaja, terutama warga muda yang tidak kenal perbezaan antara marjerin dan mentega.

"Bukan itu sahaja, masih ada juga warga Malaysia yang mengagungkan minyak sayuran lain kerana termakan tuduhan barat yang mengatakan minyak sawit adalah kurang sihat berbanding minyak sayuran lain.

"Mereka juga tidak mengetahui bahawa dengan menyokong produk sawit, mereka turut menyokong ke arah kelestarian alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Adzmi Hassan turut menjelaskan, bagaimana industri minyak sawit mampu menjaga kelestarian alam sekitar.

"Menurut 'Our World in Data' yang juga memetik data dari United Nations pada tahun 2018, hanya 8.6% daripada keluasan tanah pertanian dunia digunakan untuk tanaman kelapa sawit.

"Dengan 8.6% itu juga, kelapa sawit mampu menyumbangkan 36% monopoli syer penghasilan minyak sayuran global.

"Tempat kedua daripada syer penghasilan minyak sayuran global dipegang oleh penghasilan minyak soya dengan peratusan sebanyak 25.5%.

"Ia agak tinggi dari segi yields atau penghasilannya namun menurut data sama, tanaman soya itu telah menggunakan 39% daripada keluasan tanah pertanian dunia.

"Oleh itu, dari situ sahaja dapat kita lihat penanaman kelapa sawit menjimatkan penggunaan tanah sebanyak 4.5 kali lebih rendah berbanding tanaman soya.

"Dalam erti kata lain, industri kelapa sawit lebih efisien dalam menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.

Mengenai revolusi Industri terkini MSPO dalam industri sawit negara, Mohammad Hafezh berkata, pihak mereka telah menganjurkan webinar bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memupuk dan mendidik anak muda mengenai kepentingan MSPO serta kelestarian industri sawit negara.

"Kami juga baru sahaja selesai 'Public Comment & Consultation' kepada draf standard MSPO yang terkini kepada pihak umum dan pakar industri secara maya.

"Fungsi program ini adalah untuk mengumpul data dan maklum balas warga umum serta pakar yang boleh digunakan untuk memperbaiki dan menaik taraf standard MSPO.

Walau bagaimanapun, akibat pandemik pihak MSPO kekangan waktu untuk melakukan segala aktiviti promosi dan hanya bergantung secara maya sahaja.

"Kami berharap agar pandemik ini berlalu secepat mungkin agar kami dapat bertemu pekebun kecil untuk membincangkan mengenai revolusi dalam memperkukuhkan industri perladangan dan komoditi minyak sawit negara."katanya.

Berita Harian X