Isnin, 1 March 2021 | 12:19pm
(Gambar fail) Tinjauan di Pusat Bandar Kota Bharu mendapati orang ramai tetap mengunjungi premis menjual emas walaupun harga meningkat naik ketika ditemui di sebuah kedai emas di Jalan Temenggung - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Tinjauan di Pusat Bandar Kota Bharu mendapati orang ramai tetap mengunjungi premis menjual emas walaupun harga meningkat naik ketika ditemui di sebuah kedai emas di Jalan Temenggung - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Harga emas dijangka tidak stabil dalam tempoh enam bulan

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka kekal kurang memberangsangkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini susulan persekitaran kadar faedah dan inflasi yang rendah di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS).

Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata harga emas berada di bawah tekanan selepas hasil bon 10 tahun kerajaan AS meningkat mendadak, sekali gus membayangi program rangsangan yang diumumkan Presiden AS, Joe Biden baru-baru ini.

Katanya, dari satu sudut, pakej rangsangan AS sepatutnya akan menyokong kenaikan harga emas di mana peruntukan besar yang diumumkan akan melemahkan dolar AS, namun pergerakan ketara dalam hasil bon kerajaan melemahkan logam berharga itu.

Beliau berkata, harga emas mencecah paras rendah AS$1,784 (RM7,201.98) seauns pada Februari dan ia boleh menyebabkan komoditi ini terus menyusut sehingga paras AS$1,698 (RM6,854.80).

Namun, katanya, jika harga berjaya kekal di atas paras AS$1,784, ia akan memacu pergerakan lebih positif kepada AS$1,840 (RM7,428.05) seauns.

"Pada dasarnya, program perbelanjaan baharu Joe Biden akan menyebabkan harga emas melonjak memandangkan peruntukan besar ini akan menyebabkan peningkatan kadar inflasi.

"Namun, kita telah melihat pergerakan besar hasil bon 10 tahun kerajaan AS iaitu dari sekitar 0.91 peratus kepada 1.26 peratus.

"Analisis teknikal menunjukkan hasil bon ini boleh mencecah 1.37 peratus di mana kos faedah lebih tinggi ini akan memberi tekanan ke atas emas. Dolar AS juga sebenarnya terlebih jual untuk tempoh sangat lama sejak 2011 sebelum melonjak dan terus menekan emas," katanya ketika dihubungi BH.

Baru-baru ini, emas menghampiri paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan apabila peningkatan nilai dolar dan isyarat selanjutnya pemulihan ekonomi menjejaskan permintaan terhadap aset selamat itu.

Harga logam berharga itu susut buat hari kelima pada 17 Februari lalu, tempoh penurunan paling lama sejak Mac tahun lalu, apabila data menunjukkan jualan runcit AS mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Januari.

Selain itu, pengeluaran meningkat lebih tinggi berbanding unjuran apabila kilang-kilang terus pulih daripada gangguan berkaitan pandemik.

Emas, yang mencatatkan kenaikan tahunan tertingginya dalam sedekad tahun lalu, merosot lebih enam peratus setakat tahun ini di tengah-tengah keyakinan terhadap pertumbuhan, yang dicetuskan oleh jangkaan kemajuan vaksinasi dan lebih banyak bantuan ekonomi.

Mengulas lanjut, Zambrano berkata prospek harga emas semakin menurun ketika ini, namun selepas kadar faedah stabil dan inflasi meningkat, ia akan mendorong aset selamat itu kembali meningkat.

"Sebagai contoh, harga emas naik mendadak dari paras rendah tahun lalu, dan ini mungkin akan ditunjukkan dalam laporan inflasi dalam tempoh dua bulan akan datang.

"Emas akan sentiasa menjadi sebahagian daripada portfolio yang seimbang, dan saya rasa trend jangka panjang harga emas tetap meningkat. Tetapi sebagai peniaga, saya rasa bukan masanya untuk membeli emas sekarang," katanya.

Beliau menjelaskan, kejatuhan harga emas turut disorong oleh program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh dunia yang menyebabkan peniaga melepaskan pegangan dalam emas dan beralih kepada ekuiti.

"Saya berpendapat ia menjadi antara sebab mengapa orang menjual emas, dan membeli saham. Tetapi pada satu ketika inflasi akan meningkat disebabkan program vaksinasi, dan kemudian emas akan menarik lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Perbendaharaan Ace Innovate Asia Bhd, Liew Kim Fung, berkata ketika ini harga emas berlegar dalam lingkungan AS$50 (RM201.85) seauns yang mana ia dianggap tahap kurang memberangsangkan kecil atau 'mini bearish'.

Katanya, trend berada pada unjuran menurun tetapi dari segi jangka masa, ia perlu melihat daripada beberapa faktor seperti kestabilan keadaan ekonomi global dan dasar yang akan dilaksanakan AS.

"Paras sokongan pertama emas adalah AS$1,780 (RM7,185.83) seauns, paras sokongan kedua pula AS$1,725 (RM6,963.80). Bagi paras rintangan pula, pertama AS$1,830 (RM7,387.68) dan kedua AS$1,875 (RM7,569.35) seauns," katanya.

Kim Fung berkata, prospek harga emas dijangka menurun di mana sebelum ini, Pilihanraya Presiden AS menjadi faktor utama pergerakan emas yang kukuh.

"Namun strategi Demokrat di bawah Biden dilihat lebih mesra berbanding Donald Trump yang menyaksikan perdagangan dunia lebih tenang, selain program vaksin juga berjalan lancar menyebabkan emas menerima impak negatif," katanya."

Berita Harian X