Jumaat, 11 September 2020 | 7:59pm
Bursa Malaysia - Foto Bloomberg
Bursa Malaysia - Foto Bloomberg

Bursa Malaysia kembali di atas 1,500 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melabuhkan tirai minggu ini dengan ditutup tinggi hari ini melantun semula hampir satu peratus disokong oleh aktiviti belian saham berharga rendah dalam kaunter Top Glove dan Hartalega yang turun awal minggu ini berikutan pengambilan untung.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.73 mata atau 0.99 peratus kepada 1,504.85 daripada paras penutup 1,490.12 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 3.89 mata lebih rendah kepada 1,486.23 dan bergerak antara paras 1,477.47 dan 1,505.89 sepanjang hari dagangan.

Dalam kalangan 30 kaunter FBM KLCI, hanya Top Glove dan Hartalega yang mencatatkan peningkatan, masing-masing melonjak RM1.31 kepada RM7.76 dan 56 sen kepada RM12.44.

Bagi baki 28 kaunter wajaran tinggi, enam tidak berubah manakala 22 mencatatkan penurunan termasuk Maybank yang susut lima sen kepada RM7.45, Tenaga turun lapan sen kepada RM11.42 dan Public Bank jatuh 10 sen kepada RM16.08.

Selain daripada Top Glove dan Hartalega, kaunter sarung tangan lain juga mencatatkan peningkatan menguasai senarai kaunter untung utama.

Kaunter-kaunter tersebut termasuklah Supermax, yang melonjak RM1.40 kepada RM7.50, serta Rubberex dan Kossan yang naik 98 sen masing-masing kepada RM5.28 dan RM10.68.

Peningkatan kaunter sarung tangan itu juga menyokong indeks penjagaan kesihatan yang naik sebanyak 287.72 mata kepada 3,432.92.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Low, berkata prestasi kukuh pasaran itu adalah hasil daripada aktiviti membeli saham berharga rendah dalam kaunter sarung tangan susulan penjualan baru-baru ini.

"Kaunter sarung tangan terlebih jualan pada minggu lalu, itulah sebabnya mengapa aktiviti membeli saham berharga rendah muncul dan menyokong KLCI untuk ditutup lebih tinggi," katanya kepada Bernama sambil menambah prestasi hari ini telah dijangkakan oleh firma pembrokeran itu.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 701 berbanding 296, manakala 620 kaunter tidak berubah, 429 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 7.68 bilion saham bernilai RM6.49 bilion daripada 8.40 bilion saham bernilai RM5.48 bilion pada Khamis.

Sementara itu, dalam kalangan kaunter cergas, XOX meningkat 1.5 sen kepada 20 sen, Macpie naik 10 sen kepada 42 sen, Kanger International susut lima sen kepada 26 sen manakala Sapura Energy dan Xidelang tidak berubah masing-masing pada 10.5 sen dan enam sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 142.55 mata kepada 10,751.48 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 269.71 mata kepada 12,642.54.

FBM 70 meningkat 301.14 mata kepada 13,672.39, Indeks FBMT 100 naik 135.51 mata kepada 10,573.54 dan FBM ACE melonjak 778.36 mata kepada 10,475.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 35.72 mata kepada 12,665.45, Indeks Perladangan turun 14.22 mata kepada 7,007.88 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.50 mata kepada 135.34.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 3.86 bilion saham bernilai RM5.01 bilion berbanding 4.85 bilion saham bernilai RM4.51 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.09 bilion unit bernilai RM319.67 juta daripada 864.60 juta unit bernilai RM215.29.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga meningkat kepada 2.73 bilion saham bernilai RM1.15 bilion daripada 2.67 bilion saham bernilai RM753.56 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 751.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.05 bilion), pembinaan (172.89 juta), teknologi (415.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.10 juta), hartanah (342.65 juta), perladangan (36.82 juta), REIT (10.47 juta), dana tertutup (100,000), tenaga (494.61 juta), penjagaan kesihatan (424.10 juta), telekomunikasi dan media (34.44 juta), pengangkutan dan logistik (65.16 juta) dan utiliti (14.65 juta). - BERNAMA

Berita Harian X