Rabu, 12 Ogos 2020 | 10:37am
Pengurup wang sedang mengira not RM50 di kiosknya di sekitar Kuala Lumpur. - Foto AFP
Pengurup wang sedang mengira not RM50 di kiosknya di sekitar Kuala Lumpur. - Foto AFP

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini berikutan pengukuhan mata wang negara maju berkenaan.

Pada 9.02 pagi ini, ringgit di paras 4.1950/2050 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1950 yang dicatatkan pada penutupan Selasa.

Pelabur terus memberi tumpuan terhadap pakej rangsangan Amerika Syarikat dan mesyuarat peringkat tertinggi Washington-Beijing yang dijadualkan pada 15 Ogos ini.

Ketua Strategis Pasaran Global, AxiCorp Stephen Innes, berkata walaupun terdapat tanda-tanda risiko rundingan dagangan AS-China yang kian reda, namun ringgit kekal terdedah kepada pengaruh faktor luaran termasuk hasil pulangan AS yang lebih tinggi dan boleh menjejaskan aliran masuk bon asing.

Laporan menyatakan Gabenor People's Bank of China Yi Gang berkata Beijing akan terus melaksanakan bahagiannya sepertimana dipersetujui dalam perjanjian fasa pertama dengan Washington dan menunaikan komitmen untuk membuka sektor kewangan negara itu.

Sementara itu di peringkat Malaysia, pelabur menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua yang dijadualkan diumumkan pada Jumaat.

Beberapa penganalisis menjangkakan suku terbabit akan mencatat penguncupan sehingga 13 peratus berbanding tahun sebelum ini dan suku sebelumnya susulan penyusutan output perindustrian pada April dan Mei berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, data pertumbuhan ini dijangkakan lebih baik berbanding negara-negara lain.

Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama iaitu penyusutan berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada suku keempat 2019.

Dalam pada itu, ringgit secara amnya didagangkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0538/0613 daripada 3.0546/0591 pada Selasa dan naik berbanding yen kepada 3.9375/9472 daripada 3.9495/9553.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4749/4884 daripada 5.4864/4942 dan naik berbanding euro kepada 4.9237/9371 daripada 4.9383/9459 sebelumnya. – BERNAMA

Berita Harian X