Isnin, 10 Ogos 2020 | 9:08pm
Gambar fail - Sanjit Das/Bloomberg
Gambar fail - Sanjit Das/Bloomberg

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan permintaan terhadap mata wang negara maju itu melonjak.

Ia selepas data pekerjaan AS bagi Julai merekodkan prestasi positif.

Pada penutupan, unit tempatan susut kepada 4.1930/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1900 ketika ditutup pada Jumaat.

Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikan hari ini berkata ringgit diniagakan rendah berikutan data pekerjaan AS yang optimistik dengan ekonomi AS menambah hampir 1.8 juta pekerjaan pada Julai, di samping tambahan bantuan ekonomi COVID-19.

Bagaimanapun ia berkata sejak minggu lepas, ringgit telah meningkat ke paras paling kukuh dalam tempoh lima bulan apabila diniagakan di bawah paras 4.20 kerana kelemahan dolar AS.

"Ini sangat jelas pada separuh pertama minggu ini, dipacu oleh hasil Perbendaharaan-Sekuriti Kerajaan Malaysia yang pelbagai dan kenaikan harga minyak mentah ketika inventori minyak mentah AS dilaporkan berkurangan," katanya.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.4752/4822 daripada 5.4755/4864 ketika ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9553/9608 daripada 3.9589/9667.

Mata wang tempatan stabil berbanding euro kepada 4.9301/9377 daripada 4.9426/9517 minggu lalu dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0515/0558 daripada 3.0499/0562.

– BERNAMA

Berita Harian X