Isnin, 10 Ogos 2020 | 8:44pm
Pelabur runcit memantau saham di dewan dagangan ekuiti salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur. - Foto: AFP
Pelabur runcit memantau saham di dewan dagangan ekuiti salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur. - Foto: AFP

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, bertentangan dengan trend kenaikan bursa serantau.

Ia dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan, terutamanya saham pengeluar sarung tangan.

Pada 5.00 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah 6.48 mata atau 0.41 peratus kepada 1,571.66 daripada 1,578.14 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Indeks utama dibuka tinggi 1.15 mata kepada 1,579.29 dan berada antara 1,558.07 dan 1,579.29 sepanjang sesi.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 19.76 bilion saham bernilai RM7.55 bilion daripada 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion pada Jumaat.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 617 berbanding 538, manakala 340 kaunter tidak berubah, 475 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Di peringkat serantau, saham Asia ditutup kebanyakannya tinggi, berikutan sentimen pasaran yang positif dibawa oleh harapan baharu mengenai pakej rangsangan baharu AS apabila perintah eksekutif Presiden Donald Trump baru-baru ini mendorong pembangkang Demokrat untuk kembali ke meja perbincangan.

Bursa Saham Shanghai China naik 0.75 peratus kepada 3,379.25, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.63 peratus kepada 24,377.43, dan Kospi Korea Selatan meningkat 1.48 peratus kepada 2,386.38.

Pasaran Jepun dan Singapura ditutup hari ini sempena cuti umum.

Pencarta Kanan Maybank Investment Bank Nik Ihsan Raja Abdullah berkata dagangan hari ini menyaksikan Pasaran ACE terus meningkat dengan minat daripada peniaga runcit, ditutup tinggi berbanding saham mewah dan saham berharga rendah.

"Indeks FBM KLCI ditutup pada 1,571.66, meningkat daripada paras sokongan sebelum ini pada 1,560.

"Dari segi teknikal, indeks petunjuk pasaran terdedah kepada penurunan dengan jangkaan pengumuman pendapatan yang rendah untuk keputusan suku kedua," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata mengikut sektor, Indeks Hartanah Bursa mencatatkan prestasi terbaik hari ini dengan naik lebih 1.5 peratus, manakala Indeks Teknologi Bursa mencatatkan kemajuan paling perlahan dengan susut 2.5 peratus.

"Walaupun penurunan utama terdiri daripada penggiat sarung tangan, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa ditampan oleh kaunter farmaseutikal, iaitu Duopharma Biotech dan Pharmaniaga, yang mungkin didorong oleh peralihan daripada kaunter sarung tangan kepada kaunter farmaseutikal, disokong oleh harapan terhadap vaksin COVID-19," katanya

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove merosot 94 sen kepada RM27.20 dan Hartalega susut 78 sen kepada RM18.36.

Maybank menambah satu sen kepada RM7.52, Public Bank naik empat sen kepada RM16.80, manakala Tenaga tidak berubah pada RM11.02.

Daripada saham paling aktif, Borneo Oil menambah satu sen kepada 8.5 sen, Pegasus meningkat setengah sen kepada 4.5 sen, XOX dan Vivocom, masing-masing naik 1.5 sen kepada 30.5 sen dan 4.5 sen, manakala AT Systematization menokok dua sen kepada 12 sen.

Indeks FBM Emas susut 81.81 mata kepada 11,284.56, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 144.47 mata kepada 13,353.08 dan Indeks FBMT 100 merosot 82.60 mata kepada 11,096.20.

FBM 70 berkurangan 252.94 mata kepada 14,557.53, manakala FBM ACE melonjak 298.62 mata kepada 10,615.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 51.36 mata kepada 12,967.45, Indeks Perladangan naik 77.70 mata kepada 7,041.45 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.06 mata kepada 141.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 9.88 bilion saham bernilai RM5.16 bilion daripada 14.33 bilion saham bernilai RM5.84 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 491.36 juta unit bernilai RM208.53 juta daripada 649.49 juta unit bernilai RM248.86 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 9.39 bilion saham bernilai RM2.18 bilion daripada 11.66 bilion saham bernilai RM2.95 bilion pada Jumaat lepas.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 1.68 bilion saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (3.42 bilion), pembinaan (550.25 juta), teknologi (835.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.63 juta), hartanah (1.71 bilion), perladangan (38.19 juta), REIT (8.16 juta), dana tertutup (23,300), tenaga (925.27 juta), penjagaan kesihatan (171.11 juta), telekomunikasi dan media (98.81 juta), pengangkutan dan logistik (342.57 juta), dan utiliti (28.51 juta).

– BERNAMA

Berita Harian X