Isnin, 3 Ogos 2020 | 7:22pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia pecah rekod jumlah dagangan tertinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia hari ini mencatat jumlah dagangan tertinggi sebanyak 13.12 bilion saham bernilai RM8.24 bilion berbanding 12.49 bilion saham bernilai RM6.64 bilion pada 20 Julai lalu.

Ini dipacu oleh jualan besar-besaran membabitkan saham-saham berharga rendah dalam sektor pengguna dan perindustrian selain permintaan yang terus ketara terhadap saham-saham pengeluar sarung tangan.

Sewaktu urus niaga ditutup hari ini, Bursa Malaysia secara keseluruhannya susut dengan 707 kaunter rugi yang didahului sektor tenaga dan kewangan yang masing-masing turun 2.75 peratus dan 2.45 peratus.

Sejumlah 505 kaunter untung, kebanyakannya dalam pasaran ACE dan sektor penjagaan kesihatan apabila indeks terbabit mengatasi pasaran secara meluas dengan masing-masing meningkat 7.52 peratus dan 4.37 peratus.

Selain itu, sebanyak 294 kaunter lain tidak berubah, 449 kaunter tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.94 peratus kepada 1,572.61 daripada 1,603.75 pada Khamis lepas, apabila 27 komponen indeks merosot.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat lalu bersempena cuti umum Adiladha.

Seorang penganalisis berkata, pasaran menyaksikan penurunan secara keseluruhan selepas mencatat beberapa kenaikan memandangkan prestasi kaunter tenaga yang lebih rendah.

Ini susulan laporan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan sekutunya telah mula membekal lebih banyak minyak mentah ke dalam pasaran global terutama di negara-negara yang masih bergelut untuk membendung penularan COVID-19.

Pada 5 petang, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global diniagakan pada AS$43.02 setong, susut 1.10 peratus daripada harga penutup sebelum ini.

Bagi kaunter kewangan, beliau berkata bank global telah menyaksikan peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL) serta pengurangan keuntungan dan aliran sama akan dialami pasaran tempatan pada 1 September ini apabila moratorium enam bulan berakhir.

"Di sebalik kebimbangan mengenai NPL, kerajaan telah mengumumkan moratorium bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira tiga juta rakyat yang telah kehilangan pekerjaan selain gaji dikurangkan akibat COVID-19," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals turun 28 sen kepada RM5.90, Tenaga Nasional rugi 34 sen kepada RM11.10, Maybank susut 17 sen kepada RM7.50, Public Bank berkurangan 44 sen kepada RM16.56 manakala PPB merosot RM1.14 kepada RM18.56.

Bagi kaunter rugi, Nestle susut RM1.30 kepada RM140.70, Petronas Dagangan kehilangan 84 sen kepada RM20.66 manakala Hong Leong Bank dan Hong Leong Financial masing-masing berkurangan 70 sen dan 58 sen kepada RM14.30 dan RM12.86.

Saham paling aktif menyaksikan MQ Technology naik 10 sen kepada 22 sen, XOX menokok setengah sen kepada 26.5 sen manakala AT Systematization menambah 1.5 sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 151.35 mata kepada 11,262.58, Indeks FBM Emas Syariah turun 95.34 mata kepada 13,344.19 dan Indeks FBMT 100 kehilangan 165.71 mata kepada 11,088.36.

FBM 70 pula susut 5.32 mata kepada 14.490.26 dan FBM ACE melonjak 641.94 mata kepada 9.176.82.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 2.07 mata kepada 139.06, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 323.39 mata kepada 12,842.11 dan Indeks Perladangan berkurangan 109.03 mata kepada 7,038.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 5.74 bilion saham bernilai RM5.35 bilion berbanding 6.01 bilion saham bernilai RM4.03 bilion pada Khamis lalu.

Waran merosot kepada 720.54 juta unit bernilai RM283.44 juta daripada 849.17 juta unit bernilai RM278.74 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 6.65 bilion saham bernilai RM2.60 bilion berbanding 5.05 bilion saham bernilai RM1.84 bilion pada Khamis lalu.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 1.43 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (1.45 bilion), pembinaan (925.18 juta), teknologi (945.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.19 juta), hartanah (278.37 juta), perladangan (88.30 juta), REIT (25.06 juta), dana tertutup (75.100), tenaga (601.69 juta), penjagaan kesihatan (125.29 juta), telekomunikasi dan media (78.35 juta), pengangkutan dan logistik (312.92 juta) serta utiliti (37.75 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X