Selasa, 28 Julai 2020 | 10:26am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street ketika pelabur terus berharap agar kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan lebih banyak langkah rangsangan susulan penularan COVID-19.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.61 mata atau 0.29 peratus kepada 1,596.09 daripada 1,591.48 sewaktu pasaran ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan meningkat 3.16 mata kepada 1,594.64.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 323 berbanding 127 manakala 287 kaunter lain tidak berubah, 1.272 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 833.02 juta bernilai RM319.81 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, peningkatan Purata Perindustrian Dow Jones semalam yang menokok 115 mata kepada hampir 26,600 memberi petanda baik untuk pasaran saham tempatan.

"Di peringkat tempatan misalnya, FBM KLCI dijangka terus mendapat sokongan pembelian domestik dan diunjurkan kekal kukuh dengan indeks penanda aras sekitar 1,590 hingga 1,600 hari ini," katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Public Investment Bank Bhd sebaliknya menjangkakan indeks utama itu kekal tidak menentu dan mendatar pada 1,580 dan 1,600 dengan kecenderungan untuk susut sekiranya aktiviti jualan berlaku dalam momentum penurunannya.

"Paras sokongan pada 1,515, 1,550 dan 1,580 manakala paras rintangan pada 1600, 1,610 dan 1,622.

"Di pasaran lebih meluas, pedagang dijangka memanfaatkan kelemahan sektor telekomunikasi dan media serta pengangkutan dan logistik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM7.84, Tenaga meraih empat sen kepada RM11.34, Hartalega menokok 12 sen kepada RM18.42 manakala Public Bank tidak berubah pada RM17.52.

Top Glove sebaliknya turun 12 sen kepada RM25.76 dan menjadi kaunter paling rugi di bursa tempatan setakat ini.

Selain itu, XOX muncul saham paling aktif pada dagangan pagi ini apabila naik naik 3.5 sen kepada 28 sen, Borneo Oil untung setengah sen kepada lima sen, Key Alliance meningkat satu sen kepada 10 sen, Managepay menokok 3.5 sen pada 13.5 sen manakala DGB tidak berubah pada 6.5 sen.

Senarai kaunter paling untung didahului kaunter perladangan seperti United Plantations yang naik 38 sen kepada RM13.92, Genting Plantations menokok 28 sen to RM10.28 dan KLK menambah 20 sen kepada RM24.08.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 45.10 mata kepada 11,368.11, Indeks FBMT 100 naik 38.72 mata kepada 11,198.08 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 60.72 mata kepada 13,285.58.

FBM 70 naik 75.12 mata kepada 14,414.54 dan FBM ACE melonjak 93.30 mata kepada 8,357.47.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 75.57 mata kepada 7,237.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.58 mata kepada 140.70 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.38 mata kepada 13.381.46.

-BERNAMA

Berita Harian X