Isnin, 20 Julai 2020 | 10:14am

Aliran peningkatan pasaran saham dipacu kaunter sarung tangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum kerancakan dagangannya, dipacu oleh permintaan kukuh untuk kaunter-kaunter penjagaan kesihatan terutamanya pengeluar sarung tangan.

Ini selepas empat kaunter sarung tangan utama - TopGlove, Supermax, Hartalega dan Kossan meneruskan kenaikan yang diraih dengan menguasai kaunter untung teratas ketika dagangan dibuka.

Pada pukul 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.71 mata kepada 1,607.04 berbanding 1,596.33 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka 11.02 mata lebih tinggi pada 1,596.33.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 321 berbalas 97, sementara 276 kaunter tidak berubah, 1,278 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 853.99 juta unit bernilai RM313.96 juta.

Seorang penganalisis berkata Top Glove dan Supermax adalah antara kaunter yang paling popular dalam kalangan pelabur asing, malah, mengatasi Tesla AS, sekali gus melonjakkan permintaan untuk saham.

"Memandangkan COVID-19, terutamanya di AS tidak menunjukkan sebarang keredaan dan jumlah kes masih lagi mencatatkan peningkatan seluruh dunia, kami percaya saham-saham sarung tangan ini belum lagi mencapai puncaknya," kata beliau.

Ini meskipun pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) telah mengeluarkan arahan sekatan ke atas import daripada dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, dan menempatkan syarikat di dalam senarai "Withhold Release Order (WRO)".

Selain daripada itu, lebih daripada 65 peratus sarung tangan perubatan digunakan oleh petugas barisan hadapan AS adalah buatan Malaysia.

Menurut Bloomberg, prestasi To Glove setakat tahun ini ialah 389 peratus, tertinggi dalam Indeks MSCI Asia Pasifik, sementara Supermax Corp pula telah melonjak lebih 1,000 peratus berbanding Tesla pada 259 peratus.

Ini didorong oleh permintaan melambung untuk sarung tangan berikutan pandemik COVID-19.

Pada 9.03 pagi, Top Glove naik RM1.32 kepada RM24.30, Supermax dan Hartalega, masing-masing menokok 90 sen kepada RM18.60 dan RM18.00 sementara Kossan mengukuh 86 sen kepada RM14.36.

Saham berwajaran tinggi pula, indeksnya bercampur-campur kerana kebanyakan kaunternya sama ada tidak dniagakan ataupun rendah.

Untuk saham paling cergas, saham teknologi menguasai kaunter dengan DGB dan Lambo, kedua-duanya meningkat setengah sen kepada tujuh sen dan 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 101.49 mata kepada 11,373.94, Indeks FBMT 100 naik 86.64 mata kepada 11,216.85 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih tinggi 160.31 mata kepada 13,159.60.

Indeks FBM 70 pula melonjak 156.95 mata kepada 14,209.69 dan FBM ACE mengukuh 121.90 mata kepada 7,612.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 26.48 mata kepada 13,603.93, Indeks Perladangan menambah 17.48 mata kepada 6,986.30 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.84 mata kepada 139.52.

– Bernama

Berita Harian X