Rabu, 15 Julai 2020 | 10:38am
Bursa Malaysia - Foto fail NSTP
Bursa Malaysia - Foto fail NSTP

Bursa Malaysia meningkat sedikit pada awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bergerak antara paras untung dan rugi sewaktu dibuka hari ini dengan indeks petunjuk utama cuba bertahan pada paras 1,600 selepas mencecah paras tertinggi sejak awal tahun ini pada sesi semalam.

Pada 9.11 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.33 mata kepada 1,599.65 selepas dibuka lebih tinggi pada 1,601.52 berbanding 1,598.75 sewaktu pasaran ditutup pada Selasa.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 150 manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,220 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 635.31 juta unit bernilai RM447.18 juta.

Sementara itu, Rakuten Trade menjangkakan pasaran serantau akan mencatat pemulihan hari ini selepas penurunan semalam.

Selain itu, berita mengenai vaksin yang berpotensi untuk COVID-19 turut mendorong Wall Street meningkat semalam dengan Dow Jones meraih 556 mata untuk ditutup hampir mencecah paras 26.650.

"Di peringkat tempatan, kami menjangkakan FBM KLCI akan melepasi 1,600 markah hari ini berikutan kemerosotan semalam iaitu pada sekitar 1,610-1,615.

"Namun, pada masa sama, kami terus menasihatkan pelabur untuk mengamalkan sikap berhati-hati berikutan ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang kian meruncing," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Malacca Securities berkata meskipun sektor penjagaan kesihatan susut, namun ia memberi peluang untuk membeli saham sektor tersebut yang kini berharga rendah.

Pada masa sama, ia juga percaya harga minyak sawit mentah (MSM) yang meningkat akan memberi impak positif terhadap saham-saham perladangan.

Selain itu, pelabur juga mengikuti rapat mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeskport Petroleum (OPEC) pada hari ini.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove dan Hartalega terus susut dengan masing-masing kehilangan 32 sen kepada RM22.84 dan RM16.80 manakala Public Bank berkurangan 20 sen kepada RM18.50, sekali gus turut mengehadkan aliran kenaikan di FBM KLCI.

Digi dan Genting masing-masing turun satu sen kepada RM4.32 dan RM2.54.

Sime Darby Plantation sebaliknya naik tujuh sen kepada RM5.10, didorong oleh aliran kenaikan di pasaran MSM.

Saham aktif menyaksikan PDZ turun 1.5 sen kepada 15.5 sen,

Reservoir naik 26 sen kepada 67 sen namun Eduspec tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks pula menyaksikan Indeks FBM Emas naik 7.13 mata pada 11,259.97, Indeks FBMT 100 menokok 0.92 mata kepada 11,115.84 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 2.29 mata kepada 12,926.23.

FBM 70 sebaliknya susut 4.19 mata kepada 13,901.59 dan FBM ACE menokok 59.18 mata kepada 7,218.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.24 mata kepada 13,517.70, Indeks Perladangan menokok 41.21 mata kepada 6,887.86 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.84-mata satu mata kepada 138.99.

-BERNAMA

Berita Harian X