Isnin, 15 Jun 2020 | 8:04pm
Paparan pergerakan harga saham di salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur.
Paparan pergerakan harga saham di salah sebuah bank pelaburan di Kuala Lumpur.

Bursa Malaysia ditutup rendah, susut 47.19 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan indeks utama turun sedikit di bawah paras 1,500 di tengah-tengah kekurangan pemangkin positif.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 47.19 mata atau 3.05 peratus untuk ditutup hari ini kepada 1,498.83 daripada paras penutup 1,546.02 pada Jumaat lalu.

Indeks itu dibuka naik 2.03 mata kepada 1,548.05 dan berlegar antara paras 1,490.44 dan 1,548.05 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 1,107 berbanding 159, manakala 227 kaunter tidak berubah, 416 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 9.07 bilion saham bernilai RM5.32 bilion daripada 8.03 bilion saham bernilai RM4.77 bilion.

Peniaga berkata, pelabur beralih kepada mengelak risiko berikutan kebimbangan gelombang kedua COVID-19 dan harga minyak yang lemah.

Di dalam negara, Malaysia merekodkan peningkatan kadar pengangguran sebanyak lima peratus - yang paling tinggi sejak 1990 -- apabila jumlah penganggur melonjak 48.8 peratus tahun ke tahun kepada 778,800 orang berikutan penutupan operasi kebanyakan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada pekerjaan manakala pencari kerja sukar mendapat kerja.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan 21 sen kepada RM7.70, TNB susut enam sen kepada RM11.82, Public Bank turun 38 sen kepada RM16.42, Petronas Chemicals jatuh 40 sen kepada RM6.47, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM5.42 dan Top Glove jatuh RM1.70 kepada RM15.20.

Dalam kalangan kaunter cergas, Asia Poly Holdings meningkat satu sen kepada 12.5 sen, VSolar naik dua sen kepada 5.5 sen manakala Pegasus dan Minetech tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 28 sen, AT Systematization turun satu sen kepada 13.5 sen, Luster Industries susut dua sen kepada 11.5 sen dan K-One berkurangan 4.5 sen kepada 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 369.30 mata kepada 10,499.85, Indeks FBMT 100 turun 357.15 mata kepada 10,374.62 dan FBM 70 berkurangan 565.75 mata kepada 12,796.4.

Indeks FBM Emas Syariah turun 420.64 mata kepada 11,896.55 dan FBM ACE susut 277.76 mata kepada 5,550.91.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 6.94 mata kepada 132.64, Indeks Perladangan susut 102.76 mata kepada 6,683.28 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 424.47 mata kepada 12,985.73.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 5.20 bilion saham bernilai RM4.38 bilion daripada 4.43 bilion saham bernilai RM3.82 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 809.69 juta unit bernilai RM213.66 juta daripada 652.41 juta unit bernilai RM163.98 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.05 bilion saham bernilai RM728.18 juta daripada 2.94 bilion saham bernilai RM781.90 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 702.81 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.42 bilion), pembinaan (398.27 juta), teknologi (351.18 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.02 juta), hartanah (834.65 juta), perladangan (91.94 juta), REIT (11.29 juta), dana tertutup (16,000), tenaga (850.35 juta), penjagaan kesihatan (144.73 juta), telekomunikasi dan media (168.92 juta), pengangkutan dan logistik (114.35 juta) dan utiliti (32.18 juta). - BERNAMA

Berita Harian X