Rabu, 10 Jun 2020 | 7:03pm
Bursa Malaysia ditutup tinggi
Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, teruskan peningkatan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit dalam jajaran dagangan kecil hari ini dengan belian saat-saat akhir dalam saham wajaran tinggi terpilih membantu meningkatkan indeks utama ke bahagian positif.

Prestasi bursa tempatan itu seiring dengan prestasi bercampur-campur di bursa Asia lain berikutan penurunan ekuiti Amerika Syarikat (AS) semalaman dan menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) lewat hari ini, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.11 mata untuk ditutup kepada 1,575.27 daripada paras penutup 1,575.16 pada Selasa.

Indeks itu dibuka naik 1.10 mata kepada 1,576.26 dan berlegar antara paras 1,570.45 dan 1,578.10 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 626 berbanding 415 manakala 423 kaunter tidak berubah, 437 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 7.60 bilion saham bernilai RM4.71 bilion daripada 9.10 bilion saham bernilai RM6.21 bilion.

Seorang peniaga berkata, Bursa Malaysia diniagakan dalam jajaran kecil hari ini dengan aktiviti pengambilan untung yang disisipi dengan belian dilihat dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui saham kewangan.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata saham di AS berundur seketika selepas kenaikan baru-baru ini susulan peningkatan ketegangan politik di Semenanjung Korea dan kemungkinan tercetusnya semula perang perdagangan AS-China.

Terdapat beberapa pembetulan dalam pasaran Asia hari ini selepas mencatatkan prestasi kukuh, dengan FBM KLCI menjadi satu daripada bursa yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini, katanya.

"Bagaimanapun, momentum belian Bursa kekal kukuh kerana sebarang kemungkinan pengambilan untung telah dihapuskan oleh sokongan belian terutamanya oleh institusi tempatan dan peruncit.

Setakat ini, sentimen pasaran kekal kukuh," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun meningkat 0.15 peratus kepada 23,124.95, Straits Times Singapura naik 0.25 peratus kepada 2,801.02 tetapi Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.03 peratus kepada 25,049.73 .

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga naik enam sen kepada RM11.96, Public Bank susut empat sen kepada RM17.34, Petronas Chemicals meningkat satu sen kepada RM6.90 dan IHH Healthcare turun enam sen kepada RM5.57. Maybank tidak berubah pada RM8.20.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, AT Systematization naik dua sen kepada 12.5 sen, Radiant Globaltech meningkat 10.5 sen kepada 41.5 sen, Lambo Group dan XOX menambah setengah sen setiap satu masing-masing kepada 2.5 sen dan tujuh sen, manakala Xidelang tidak berubah pada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 63.88 mata kepada 12,512.56, FBM 70 meningkat 85.48 mata kepada 13,702.73 dan FBM ACE menokok 132.64 mata kepada 5,995.55.

Indeks FBM Emas meningkat 26.14 mata kepada 11,103.52 dan Indeks FBMT 100 menokok 16.56 mata kepada 10,951.25.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.74 mata kepada 141.89 dan Indeks Perladangan naik 8.07 mata kepada 6,836.66. Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 25.89 mata kepada 13,847.36.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.38 bilion saham bernilai RM3.84 bilion daripada 5.72 bilion saham bernilai RM5.25 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 515.51 juta unit bernilai RM125.66 juta daripada 742.42 juta unit bernilai RM176.19 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 271.11 juta saham bernilai RM741.39 juta daripada 2.63 bilion saham bernilai RM777.96 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 903.94 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.01 bilion), pembinaan (609.31 juta), teknologi (524.16 juta), SPAC (sifarl), perkhidmatan kewangan (64.28 juta), hartanah (305.26 juta), perladangan (79.31 juta), REIT (10.91 juta), dana tertutup (60,600), tenaga (467.65 juta), penjagaan kesihatan (65.65 juta), telekomunikasi dan media (137.16 juta), pengangkutan dan logistik (153.95 juta) dan utiliti (41.19 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X