Khamis, 14 Mei 2020 | 10:50am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi, lepasi 1,400 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dengan indeks penanda aras melepasi paras psikologi 1,400 mata, didorong oleh peningkatan berterusan kaunter saham pengeluar sarung tangan getah dan berkaitan penjagaan kesihatan.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) menokok 7.72 mata kepada 1,404.85 berbanding 1,397.13 sewaktu ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 3.12 mata kepada 1,400.34.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 184 berbanding 174 manakala 242 kaunter tidak berubah, 1,273 tidak didagangkan manakala 35 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 340.36 juta unit bernilai RM162.22 juta.

Malah, jumlah dagangan di semua papan Bursa Malaysia turut mencecah paras tertinggi 9.59 bilion unit saham yang bernilai RM5.1 bilion sewaktu ditutup semalam.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, minat dagangan kukuh terus ketara dalam sektor penjagaan kesihatan yang berkemungkinan menyaksikan peningkatan di masa akan datang.

"Sebarang pergerakan melepasi paras psikologi 1,400 berkemungkinan menyaksikan indeks utama untuk menguji semula tahap 1,430. Namun risiko penurunan masih pada paras 1.360," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu percaya peningkatan semalam susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 yang lebih baik daripada jangkaan awal, akan disusuli dengan aktiviti pengambilan untung di FBM KLCI.

Menurutnya, pelabur akan turut memberi perhatian semula kepada kes jangkitan dalam gelombang baharu COVID-19.

"Berikutan keadaan itu, kami menjangkakan saham-saham berharga rendah mungkin mendapat perhatian dalam jangka terdekat sebagaimana dipaparkan pada sesi kedua dagangan semalam," katanya.

Sementara itu, Rakuten Trade Research berkata, unjuran kurang positif oleh pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) turut mengejutkan pelabur ketika Wall Street terus merosot.

Purata Indeks Dow Jones kehilangan hampir 520 mata dan bertahan di paras melebihi 23,000 yang menunjukkan kemerosotan hampir 1,000 mata dalam tempoh dua hari lepas.

"Oleh itu, kita perlu menjangkakan penjualan berterusan di pasaran serantau hari ini kerana para pelabur akan terus berasa gelisah," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove dan Hartalega terus mencatat kenaikan dengan masing-masing menokok 57 sen dan 55 sen kepada RM9.88 dan RM9.41 berikutan lonjakan permintaan global untuk sarung tangan getah yang diterima dari sektor perubatan.

IHH Healthcare menokok enam sen kepada RM5.41 manakala Maybank untung lima sen kepada RM7.44.

Bagi saham aktif, pengeluar peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan, K-One untung 4.5 sen kepada 35.5 sen, Minetech meningkat 10 sen pada 27 sen dan Key Alliance menokok setengah sen kepada 10 sen.

Careplus pula naik 9.5 sen kepada RM1.01.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 45.60 mata kepada 9,871.55, Indeks FBMT 100 naik 48.57 mata kepada 9,724.07, Indeks FBM Emas Shariah menambah 70.68 mata kepada 11,105.43, FBM ACE naik 64.49 mata kepada 5,355.61 dan FBM 70 meraih 40.02 mata kepada 11,993.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.29 mata kepada 12,277.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industrian susut 0.18 mata kepada 120.04 manakala Indeks Perladangan naik 22.68 mata kepada 6.270.17.

-BERNAMA

Berita Harian X