Jumaat, 8 Mei 2020 | 10:21am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini seiring dengan kebanyakan pasaran serantau susulan pengukuhan prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.08 mata atau 0.73 peratus kepada 1,387.01 daripada 1,376.93 sewaktu ditutup pada Rabu.

Sewaktu dibuka, ia meraih 5.19 mata kepada 1,382.12.

Bursa Malaysia ditutup pada Khamis bersempena cuti umum Hari Wesak.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 292 berbanding 76 manakala 218 kaunter lain tidak berubah, 1,289 tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 270.43 juta saham bernilai RM106.74 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, tekanan jualan pada saat-saat akhir di FBM KLCI pada Rabu menunjukkan bahawa terdapat kekurangan sokongan belian pada jangka masa terdekat ketika indeks penanda aras itu gagal meningkatkan pulangan yang dicatatkan.

Kelemahan itu menjejaki tekanan jualan beberapa saham wajaran tinggi terpilih susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas yang turut menyaksikan ringgit lemah berbanding dolar AS.

"Berikutan tiadanya sokongan belian susulan, indeks utama dijangka menyaksikan dagangan mendatar pada masa akan datang di paras sokongan dan rintangan segera iaitu 1.360 hingga 1.400," kata Malacca Securities.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM7.43, TNB untung 28 sen kepada RM12.44, Public Bank menokok 18 sen kepada RM15.92, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM5.50, Maxis meningkat lima sen kepada RM5.31 manakala Axiata tidak berubah pada RM3.87 dan IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM5.16.

Bagi saham aktif, K-One meningkat tiga sen kepada 24 sen manakala Key Alliance, Bioalpha dan Advance Synergy untung setengah sen masing-masing kepada 24 sen, 11.5 sen dan 12.5 sen, Green Packet naik dua sen kepada 77 sen, Hubline dan Sapura Energy tidak berubah pada lima sen dan sembilan sen.

Indeks FBM Emas naik 77.52 mata kepada 9,761.18, Indeks FBMT 100 meningkat 75.35 mata kepada 9,612.32, Indeks FBM Emas Shariah menambah 85.42 mata kepada 10,870.35, FBM ACE meraih 35.94 mata kepada 4,963.6 dan FBM 70 melonjak 115.89 mata kepada 11,904.18.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 84.87 mata kepada 12.315.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri bertambah 0.44 mata kepada 120.88 manakala Indeks Perladangan meningkat 8.07 mata kepada 6.286.6.

-BERNAMA

Berita Harian X