Jumaat, 24 April 2020 | 8:27pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia berakhir rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan penjualan berterusan dalam kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan kewangan terpilih, dan prestasi itu sejajar dengan sentimen lemah di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.79 mata kepada 1,369.85 daripada 1,381.64 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu, yang dibuka 5.47 mata lebih rendah pada 1,376.17, bergerak di antara 1,367.49 dengan 1,377.71 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran keseluruhan kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 445 berbanding 400, manakala 365 kaunter tidak berubah, 701 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.69 bilion saham bernilai RM2.49 bilion daripada 5.05 bilion saham bernilai RM2.58 bilion ketika penutupan pada Khamis.

Peniaga berkata, pakej bantuan bernilai AS$484 bilion (RM2.1 trilion) yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) sebagai bantuan akibat COVID-19 untuk negara maju itu tidak dapat menyokong pasaran Asia daripada terus mengalami penurunan.

Beliau berkata, ia berikutan kebimbangan terhadap ekonomi global muncul semula selepas Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di peringkat global menunjukkan betapa teruknya impak COVID-19 ke atas dunia.

"Selain itu tekanan penurunan ke atas ekuiti juga mungkin disebabkan kekurangan hasil positif daripada percubaan Remdesivir oleh Gilead yang pada awalnya memberi harapan akan terciptanya penawar pandemik itu," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh akan datang, pelabur akan memantau data AS minggu depan serta perkembangan pandemik itu bagi memperoleh hala tuju jangka pendek manakala pergerakan harga minyak mentah turut boleh memberi dorongan tambahan.

Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi Maybank turun enam sen kepada RM7.36, TNB susut 14 sen kepada RM12.16, Petronas Chemicals kurang 12 sen pada RM5.27, Public Bank menguncup empat sen kepada RM15.82 dan IHH Healthcare merosot sembilan sen kepada RM5.11.

Bagi saham aktif, Sanichi Technology tidak berubah pada 4.5 sen, Velesto Energy turun setengah sen kepada 14 sen sementara Key Alliance naik 2.5 sen kepada enam sen dan Careplus meningkat 5.5 sen kepada 43 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 63.25 mata kepada 9,554.64, Indeks FBMT 100 turun 65.74 mata kepada 9,432.67, Indeks FBM Emas Syariah susut 77.33 mata kepada 10,598.73, FBM 70 jatuh 16 mata kepada 11,432.50 namun FBM ACE naik 52.84 mata kepada 4,449.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 54.84 mata kepada 12,254.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.16 mata kepada 115.68 dan Indeks Perladangan susut 24.76 mata kepada 6,133.47.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 3.29 bilion saham bernilai RM2.19 bilion daripada 3.48 bilion saham bernilai RM2.24 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran sebanyak 277.78 juta unit bernilai RM76.10 juta berbanding 329.74 juta unit bernilai RM79.97 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula susut kepada 1.12 bilion saham bernilai RM221.54 juta daripada 1.25 bilion saham bernilai RM261 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 662.66 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (560.03 juta), pembinaan (213.06 juta), teknologi (173.31 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (40.96 juta), hartanah (539.54 juta), perladangan (38.35 juta), REIT (8.08 juta), dana tertutup (38.000), tenaga (627.40 juta), penjagaan kesihatan (118.30 juta), telekomunikasi dan media (139.49 juta), pengangkutan dan logistik (126.44 juta) serta utiliti (45.22 juta).

-Bernama

Berita Harian X