X
Khamis, 26 March 2020 | 7:42pm

Ringgit ditutup tinggi sedikit, RM4.38 sedolar

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut hari ini.

Mata wang tempatan mendapat rangsangan daripada peningkatan permintaan terhadap aset berisiko apabila pelabur memberikan reaksi positif kepada pelbagai siri langkah ekonomi yang diumumkan untuk menangani impak COVID-19, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.3300/3400 berbanding paras penutup 4.3838/3670 pada Rabu.

Senat AS hari ini meluluskan rang undang-undang AS$2 trilion yang bertujuan membantu pekerja yang menganggur dan industri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta menyediakan berbilion dolar untuk membeli peralatan perubatan yang diperlukan segera.

Sementara itu, RAM Ratings hari ini berkata, langkah penangguhan pinjaman yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) minggu ini akan mengekalkan kestabilan sistem perbankan di tengah-tengah gangguan yang disebabkan wabak itu.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0069/0149 daripada 3.0328/0364 pada Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.7396/7510 daripada 4.7516/7577.

Ringgit turun berbanding yen kepada 3.9342/9444 daripada 3.9334/9384 tetapi meningkat berbanding pound kepada 5.1601/1737 daripada 5.2473/2530. - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X