Rabu, 11 March 2020 | 8:50pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi, naik 13.36 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza daripada pasaran serantau lain apabila ditutup lebih tinggi hari ini, didorong positif susulan beberapa pengumuman kerajaan bagi menangani keadaan ekonomi negara.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.36 mata kepada 1,443.83 daripada paras 1,430.47 sewaktu ditutup pada Selasa.

Selain itu, aktiviti membeli saham yang berharga rendah dalam indeks utama selain peningkatan harga minyak turut memberi sokongan kepada pasaran, kata peniaga.

Selepas dibuka meningkat 0.88 mata kepada 1,431.35 pagi ini, indeks pasaran tempatan itu bergerak dalam jajaran 1,428.59 hingga 1,454.00 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas kaunter untung mengatasi rugi iaitu 510 berbanding 397 manakala 353 lain tidak berubah, 746 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.47 bilion saham bernilai RM2.86 bilion daripada 4.41 bilion saham bernilai RM3.20 bilion, semalam.

Pada tengah hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dianggotai kalangan menteri kanan, Gabenor Bank Negara Malaysia dan pelbagai pakar bagi menangani risiko ekonomi selain menyemak semula kewangan kerajaan.

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu akan turut dikaji semula, termasuk melihat kemungkinan jumlahnya ditambah.

Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang memulakan tugas hari ini berkata, Malaysia berhasrat untuk menamatkan pertikaian dengan India yang telah menjejaskan pembelian minyak sawit.

Mengulas perkembangan semasa, Ketua Strategis Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata pergerakan semua pasaran komoditi itu adalah seiringan dengan prestasi minyak mentah termasuk minyak sawit.

“Bagi jangka masa lebih lama, pasaran akan diasak oleh tekanan selagi Arab Saudi dan Russia terus berbalah mengenai pengurangan pengeluaran minyak,

“China yang mahu memanfaatkan keadaan itu, dilaporkan menimbang untuk meningkatkan stok simpanan minyak negara itu," katanya kepada Bernama.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras global kini diniagakan pada paras US$36.71 setong, susut 1.37 peratus daripada semalam.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi yang mencatat peningkatan hari ini didahului oleh PetChem yang menokok 37 sen kepada RM4.72, MISC naik 48 sen kepada RM7.50, Sime Darby Plantation meraih 16 sen kepada RM4.61 manakala Dialog Group meningkat 17 sen kepada RM3.25.

Kaunter-kaunter ini menyumbang gabungan 12.91 mata terhadap peningkatan yang dicatatkan oleh indeks komposit.

Saham aktif menyaksikan kaunter tenaga menguasai pasaran dengan Sapura Energy dan Bumi Armada naik setengah sen masing-masing kepada 11.5 sen dan 18 sen manakala Velesto Energy menambah 1.5 sen kepada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 94.24 mata kepada 10,080.38, FBM 70 naik 135.03 mata kepada 12,072.98 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 176.12 mata kepada 10,718.51.

Indeks FBMT 100 naik 96.32 mata kepada 9,944.96 namun FBM Ace susut 57.33 mata kepada 4,724.52.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 3.29 mata kepada 123.45, Indeks Perladangan menokok 83.97 mata kepada 6,393.58, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.82 mata pada 13,913.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.18 bilion saham bernilai RM2.63 bilion daripada 3.31 bilion saham bernilai RM2.98 bilion sepertimana dicatatkan semalam.

Jumlah waran pula berkurangan kepada 328.79 juta unit bernilai RM56.97 juta berbanding 380.41 juta unit bernilai RM65.24 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 955.57 juta saham bernilai RM174.36 juta daripada 720.74 juta saham bernilai RM157.12 juta, sebelum ini.

Dalam pada itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 243.36 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (282.83 juta), pembinaan (192.55 juta), teknologi (318.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.33 juta), hartanah (253.26 juta), perladangan (59.87 juta), REIT (16.97 juta), dana tertutup (23,500), tenaga (1.56 bilion), penjagaan kesihatan (49.23 juta), telekomunikasi dan media (37.06 juta), pengangkutan dan logistik (44.50 juta) serta utiliti (62.28 juta). - BERNAMA

Berita Harian X