Khamis, 13 Februari 2020 | 7:37pm

Bursa ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini apabila sentimen berhati-hati menyelubungi pasaran susulan pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih rendah daripada dijangkakan dan jangkaan satu lagi penurunan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.78 mata kepada 1,539.16 daripada paras penutup 1,542.94 pada Rabu.

Selepas dibuka 1.81 mata lebih tinggi kepada 1,544.75 pagi ini, indeks tempatan bergerak antara paras 1,536.76 dan 1,545.92 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 452 to 361, dengan 415 kaunter tidak berubah, 750 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.73 bilion saham bernilai RM2.30 bilion daripada 2.81 bilion saham bernilai RM2.77 bilion pada Rabu.

Peniaga berkata, pelabur berhati-hati selepas Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus membayangkan akan melaksanakan satu lagi penurunan kadar dasar semalaman (OPR) bagi menangani data ekonomi yang lemah.

“FBM KLCI dijangka mengalami penurunan ke arah paras 1,535 dan sokongan kukuh dijangka pada paras 1,515. Dalam pada itu, sebarang kenaikan akan terhad ke arah paras ketahanan 1,560.

“Bagaimanapun, penurunan dihadkan oleh kebimbangan yang agak menurun terhadap kesan Covid-19, yang mungkin menyediakan rangsangan kepada sentimen serantau pada masa depan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.46, Tenaga susut enam sen kepada RM12.58, Public Bank naik dua sen kepada RM17.80 dan Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM6.50.

Dalam kalangan kaunter cergas, DGB Asia naik 1.5 sen kepada 9.5 sen, Securemetric turun setengah sen kepada 15 sen dan Ekovest meningkat lapan sen kepada 74.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 13.05 mata kepada 11,023.89, Indeks FBMT 100 naik 6.16 mata kepada 10,812.95 tetapi Indeks FBM Emas Shariah menokok 36.09 mata kepada 11,827.28.

FBM 70 naik 141.52 mata kepada 14,007.49 manakala FBM Ace turun 15.30 mata kepada 5,614.16.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.15 mata kepada 146.31, Indeks Perladangan susut 21.86 mata kepada 7,291.15 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.17 mata kepada 14,576.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.68 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 1.75 bilion saham bernilai RM2.48 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 385.82 juta unit bernilai RM62.42 juta daripada 421.32 juta unit bernilai RM58.50 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 660.45 juta saham bernilai RM184.52 juta daripada 635.01 juta saham bernilai RM231.02 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 264.02 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (301.76 juta), pembinaan (243.47 juta), teknologi (173.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.11 juta), hartanah (197.74 juta), perladangan (28.33 juta), REIT (24.31 juta), dana tertutup (64,000), tenaga (203.32 juta), penjagaan kesihatan (33.23 juta), telekomunikasi dan media (60.32 juta), pengangkutan dan logistik (75.08 juta) dan utiliti (33.00 juta). - BERNAMA

Berita Harian X