Khamis, 30 Januari 2020 | 8:05pm

Bursa Malaysia terus ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan sentimen pasaran yang lemah disebabkan kebimbangan terhadap impak ekonomi ekoran penularan coronavirus, yang mula dikesan di Wuhan, China, terus mempengaruhi pelabur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.88 mata kepada 1,545.59 daripada 1,550.47 ketika ditutup semalam.

Selepas dibuka 0.78 mata lebih tinggi pada 1,551.25, indeks penanda aras itu bergerak di antara 1,540.71 dengan 1,551.25 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 646 berbanding 253 manakala 368 kaunter tidak berubah, 724 kaunter tidak diniagakan dan 76 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.80 bilion saham bernilai RM2.31 bilion daripada 2.69 bilion saham bernilai RM2.55 bilion semalam.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, pelabur kekal berhati-hati mengenai impak ekonomi susulan penularan coronavirus itu.

“Berikutan kekurangan petunjuk baharu, kami berpendapat indeks utama itu akan terus menyaksikan dagangan dengan momentum cenderung ke arah penurunan dengan indeks utama telah menguji semula paras sokongan utama 1,550.

“Sebarang penurunan di bawah paras tersebut akan menyaksikan indeks penanda aras itu mencecah paras terendah baharu dalam tempoh empat tahun ke arah 1,535 malah paras psikologi 1,500. Sebarang peningkatan semula dilihat sukar dengan pergerakan terhad ke arah 1,575 buat masa ini,” menurutnya.

Penurunan FBM KLCI juga sejajar dengan pergerakan saham serantau, dengan Indeks Hang Seng Hong Kong turun 2.62 peratus kepada 26,449.13, Indeks Straits Times Singapura kurang 0.43 peratus kepada 3,168.96 dan Indeks Komposit Jakarta susut 0.91 peratus kepada 6,057.60.

Bagi saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank menokok empat sen kepada RM8.49, Public Bank turun 10 sen kepada RM18.90, Tenaga susut lapan sen pada RM12.48 dan Petronas Chemicals kurang 13 sen kepada RM6.45.

Antara saham aktif, Bumi Armada susut dua sen kepada 39 sen, Impiana Hotel tidak berubah pada 2.5 sen dan RGB International menokok dua sen kepada 19.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 49.65 mata kepada 11,029.97, Indeks FBM Emas Syariah susut 71.27 mata kepada 11,713.01 dan Indeks FBMT 100 kurang 43.84 mata kepada 10,826.78.

The FBM 70 merosot 95.91 mata kepada 13,897.38 dan FBM ACE kurang 14.57 mata kepada 5,621.22.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.31 mata kepada 147.22, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.26 mata kepada 14,889.89 dan Indeks Perladangan menurun 57.49 mata kepada 7,156.71.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.79 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 1.65 bilion saham bernilai RM2.28 bilion semalam.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 460.52 juta unit bernilai RM86.72 juta berbanding 410.79 juta unit bernilai RM70.40 juta pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 557.77 juta saham bernilai RM174.48 juta daripada 621.91 juta saham bernilai RM192.94 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 419.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (244.46 juta), pembinaan (87.97 juta), teknologi (132.02 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (46.81 juta), hartanah (103.67 juta), perladangan (62.49 juta), REIT (21.69 juta), dana tertutup (101,000), tenaga (444.61 juta), penjagaan kesihatan (97.39 juta), telekomunikasi dan media (23.74 juta), pengangkutan dan logistik (71.42 juta) serta utiliti (34.33 juta). -BERNAMA

Berita Harian X