Jumaat, 24 Januari 2020 | 7:11pm
Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0590/0650 berbanding dolar AS daripada paras 4.0680/0710 pada Khamis. - Foto hiasan
Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0590/0650 berbanding dolar AS daripada paras 4.0680/0710 pada Khamis. - Foto hiasan

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau menjelang cuti bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0590/0650 berbanding dolar AS daripada paras 4.0680/0710 pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit mengukuh hari ini, dipacu oleh aliran masuk dana ke dalam pasaran bon.

“Tindakan awal Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mencetuskan permintaan kukuh terhadap tempoh pasaran bon manakala aliran masuk dana itu pula hanya mendorong kepada peningkatan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Khamis bahawa penularan wabak coronavirus itu menjadikan darurat di peringkat China dan bukan di tahap global, turut memberi kelegaan kepada pelabur sekali gus menenangkan pasaran tukaran asing Asia, katanya.

Selain itu ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.0024/0080 daripada 3.0138/0171 pada Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7038/7103 daripada 3.7130/7171, semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.4787/4869 daripada 4.5086/5135 semalam dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3140/3235 daripada 5.3413/3469, sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X