Jumaat, 27 Disember 2019 | 2:20pm
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.64 mata kepada 1,605.19 berbanding 1,603.55 pada penutupan Khamis. - Foto hiasan
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.64 mata kepada 1,605.19 berbanding 1,603.55 pada penutupan Khamis. - Foto hiasan

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi susulan aktiviti memperelok akaun.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.64 mata kepada 1,605.19 berbanding 1,603.55 pada penutupan Khamis, dengan Indeks utama bergerak antara 1,598.48 dan 1,605.7 sepanjang sesi pagi.

Indeks penanda aras dibuka 3.62 mata lebih rendah pada 1,599.93.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 379 berbanding 311, manakala 359 kaunter tidak berubah, 927 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.26 bilion saham bernilai RM667.87 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, selepas merosot pada Khamis, aktiviti memperelok akaun akan berterusan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat memandangkan peningkatannya adalah seiring dengan lonjakan kukuh di Wall Street semalaman.

“Setakat ini ia tidak mengubah asas pasaran, dengan peningkatan sebahagian besarnya bergantung kepada kedudukan positif pasaran luar yang dijangka melimpah ke bursa tempatan," katanya dalam nota hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat empat sen kepada RM19.72, CIMB menambah dua sen kepada RM5.27, IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM5.66, Maxis menambah satu sen kepada RM5.39, Maybank dan Axiata tidak berubah pada RM8.64 dan RM4.21, manakala TNB susut 14 sen kepada RM13.24.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan TDM naik 1.5 sen kepada 27.5 sen dan 33.5 sen, Foundpac melonjak lima sen kepada 76 sen, Alam Maritim menambah setengah sen kepada 14 sen, manakala Bumi Armada dan MLabs Systems masing-masing tidak berubah pada 54 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 27.05 mata kepada 11,398.6, Indeks FBMT 100 menokok 26.64 mata kepada 11,195.74 manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 23.26 mata kepada 12,022.51, FBM 70 meningkat 96.12 mata kepada 14,171.94, dan FBM Ace turun 19.32 mata kepada 5,129.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.56 mata kepada 15,604.21, Indeks Perladangan menambah 36.64 mata kepada 7,644.63 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.06 mata kepada 153.39. - BERNAMA

Berita Harian X