Khamis, 19 Disember 2019 | 8:21am
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift. - Foto Aswadi Alias
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift. - Foto Aswadi Alias

Bursa Malaysia pinda keperluan penyenaraian

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan kualiti dan integriti penerbit tersenarai di Bursa Malaysia Bhd, Bursa Malaysia berkata ia meminda Keperluan Penyenaraian di Pasaran Utama dan ACE untuk merangkumi langkah antirasuah yang menyokong Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan 2019-2023.

Dalam kenyataan, ia berkata Pindaan Anti-Rasuah, yang berkuat kuasa pada 1 Jun, 2020, memerlukan penerbit tersenarai menubuhkan dan melaksanakan dasar dan prosedur untuk mencegah amalan rasuah.

Ia juga adalah jaminan dan pertahanan terhadap liabiliti korporat ke atas rasuah mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata memandangkan ancaman serius yang berlaku dalam sektor korporat dan ekonomi, Bursa Malaysia menyokong kerajaan dalam memerangi rasuah dengan meminda Keperluan Penyenaraian untuk merangkum langkah-langkah antirasuah yang adalah tambahan kepada peruntukan statutori di bawah undang-undang.

"Pindaan ini bukan saja akan menggalakkan budaya tadbir urus dan kelakuan etika yang lebih baik dalam kumpulan penerbit tersenarai, bahkan akan mewujudkan akauntabiliti dan ketelusan yang lebih jelas kepada pelabur," katanya.

Pindaan Anti-Rasuah itu meliputi perkara berikut:

(a) Memerlukan penerbit tersenarai dan lembaga pengarahnya memastikan:

(i) dasar dan prosedur mengenai rasuah dan pemberi maklumat diwujudkan dan dikekalkan untuk pengeluar tersenarai dan anak syarikatnya (kumpulan);

(ii) dasar dan prosedur itu dikaji semula secara berkala bagi menilai keberkesanannya, dan dalam apa juga keadaan, sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun; dan

(iii) risiko rasuah dimasukkan dalam penilaian risiko tahunan kumpulan; dan

(b) Memerlukan penerbit tersenarai menerbitkan dasar antirasuah serta dasar dan tatacara pemberi maklumat, di laman webnya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Bursa Malaysia di www.bursamalaysia.com.

Berita Harian X