Selasa, 17 Disember 2019 | 7:46am

Wall Street ditutup rekod tertinggi baharu

NEW YORK: Saham Wall Street ditutup pada paras rekod tertinggi baharu ketika mana ketegangan perdagangan yang reda antara Washington dan Beijing, dan data ekonomi memberangsangkan dari China merangsang sentimen pelabur.

Dow melepasi paras penutup tertinggi pada November, manakala S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan rekod penutup tertinggi untuk sesi ketiga berturut-turut.

Pengumuman Jumaat berhubung perjanjian perdagangan interim antara dua ekonomi terbesar di dunia itu meningkatkan prospek ekonomi global, kata beberapa penganalisis.

Walaupun pertumbuhan di China dijangka terus menyederhana, perkembangan perdagangan menceriakan prospek ekonomi negara itu.

Menambah kepada keyakinan itu, data dikeluarkan semalam menunjukkan pengeluaran perindustrian jualan runcit China berkembang pada November.

Perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China menyaksikan penggantungan tarif yang dijadualkan berkuat kuasa pada 15 Disember ke atas pelbagai produk pengguna, termasuk iPhone.

Saham Apple naik 1.7 peratus dan menyediakan rangsangan terbesar kepada S&P 500 dan Nasdaq.

Saham pengeluar cip, antara saham paling sensitif perdagangan, juga meningkat. Indeks Philadelphia SE Semiconductor menokok 1.0 peratus.

Dow Jones Industrial Average menokok 100.51 mata atau 0.36 peratus kepada 28,235.89.

S&P 500 naik 22.65 mata atau 0.71 peratus kepada 3,191.45 dan Nasdaq Composite menambah 79.35 mata atau 0.91 peratus kepada 8,814.23.

Sejumlah 7.48 bilion saham bertukar tangan berbanding purata 6.85 bilion saham 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X